Berita

APMM Perlis gagalkan cubaan seludup keluar 100 kg daun ketum

- Diterbit 15 Januari 2021 8:03 AM MYT

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 100 kilogram daun ketum di kedudukan 0.3 batu nautika, barat muara Kuala Perlis kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata berdasarkan maklumat risikan, bot peronda APMM berjaya melakukan serbuan dan tangkapan terhadap suspek yang sedang mengemudi bot kayu tanpa nombor pendaftaran menuju ke arah sempadan Thailand sekitar 7.35 pagi.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan ke daratan berhampiran. Suspek bertindak terjun ke laut meninggalkan bot serta muatan dengan berenang melarikan diri ke hutan bakau berlumpur yang berhampiran,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan APMM menemukan sembilan bungkusan plastik hitam yang mencurigakan disyaki daun ketum yang dibalut kemas dengan plastik putih seberat 100 kilogram dengan anggaran nilai RM10,000 dan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Katanya selain daun ketum, bot kayu berserta enjin sangkut bergalah turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM22,000.

“Semua hasil rampasan dan bot tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Shafie berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya.

Katanya, APMM akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara negara.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyeludupan dan jenayah maritim boleh menghubungi APMM di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas