Berita

Geramm mohon kerjasama kurangkan risiko jangkitan COVID-19

- Diterbit 15 Januari 2021 7:17 AM MYT

GERAKAN Media Merdeka (Geramm) mengambil maklum situasi penyebaran virus Covid-19 yang terus meningkat mutakhir ini. Dalam situasi negara sekali lagi berhadapan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami menghargai pengorbanan #kawangeramm yang tetap harus bertugas untuk menyampaikan maklumat dengan cepat dan tepat.

Untuk itu, Geramm meminta kerjasama dari semua pihak terlibat bagi sama-sama membantu mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19, terutama antara sumber berita dan pengamal media, juga sebaliknya.

Bagi tujuan tersebut, Geramm menyeru agar semua pihak termasuk menteri-menteri, agensi kerajaan, pemimpin politik dan lain-lain agar mempertimbang sama ada perlu atau tidak mengadakan sidang media secara fizikal sekurang-kurangnya sehingga tamat tempoh PKP 2.0.

Ini susulan perkembangan terkini kes-kes positif Covid-19 melibatkan beberapa orang menteri, ahli parlimen, Adun dan pengiring mereka, secara tidak langsung mendedahkan pengamal media kepada risiko menjadi kontak rapat atau kontak kedua.

Sebagai ganti, pegawai bertugas boleh menyalurkan maklumat dalam bentuk kenyataan media, live stream, serta video, foto atau audio mengikut keperluan masing-masing. Perlu ditegaskan ini tidak bermakna maklumat harus dikongsi dalam bentuk format berita untuk siaran, kerana setiap organisasi media berhak menentukan ‘angle’ masing-masing.

Memahami bahawa laporan media tidak boleh bersifat sehala, Geramm juga memohon kerjasama pihak berkaitan – termasuk barisan jemaah menteri – untuk membuka luas ruang bagi media untuk meminta penjelasan atau komen atas sesuatu isu, tanpa perlu bertemu secara langsung di sidang media.

Kepada pemilik media serta pihak pengurusan, kami menyambut baik apa-apa langkah diambil bagi menjamin kebajikan pekerja, selain terus berusaha untuk tetap menghasilkan laporan yang terbaik, selari dengan prinsip kebebasan media yang dijunjung. Kami Bersolidariti. – GERAMM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas