Berita

Rompak arkitek, tiga rakan dipenjara empat tahun, satu sebatan

GAMBAR HIASAN
- Diterbit 15 Januari 2021 8:08 AM MYT

PADAH merompak seorang arkitek dengan bersenjatakan pisau dan kayu serta memukul mangsa, tiga rakan masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Zikry Haziq Danial Zainal Abidin, 21, yang bekerja sebagai penghantar makanan, Muhamad Firdaus Mohd Zulkefli, 23, tidak bekerja dan Muhammad Syamil Zaqim Sazali, 20, penghantar barangan, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 8 Jan lepas.

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau dan kayu ke atas Amir Syauqie Ahmad Khairuddin, 28, di tingkat satu bangunan Suria Setapak, Jalan Gombak di sini, pada 1.30 tengah hari, 3 Dis tahun lepas.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syahieza Md Hadzaid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan yang mereka lakukan serius dan mangsa bukan sahaja mengalami kerugian, malah cedera akibat dipukul ketiga-tiga tertuduh.

“Walaupun tertuduh masih muda, namun mahkamah harus melihat bahawa kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh. Hukuman yang berat dapat menjadi pengajaran buat mereka dan juga mencegah masyarakat daripada melakukan perkara sama,” katanya.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam pula merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana mereka masing-masing perlu menanggung ibu, isteri serta keluarga.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa yang berada di pejabatnya didatangi tiga lelaki berkenaan yang memegang pisau dan kayu serta bertanya kepada mangsa berkenaan hutang.

Mangsa menafikan dia berhutang dengan mana-mana individu, ketiga-tiga lelaki itu kemudian mengambil jam tangan dan telefon bimbit mangsa yang berada di dalam premis tersebut serta memukul mangsa.

Mangsa dapat mengecam ketiga-tiga lelaki berkenaan kerana mereka tidak memakai pelitup muka, selain melihat seorang daripada mereka telah menggunakan telefon bimbit mangsa untuk menghubungi rakan mereka melalui akaun Instagram. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas