Berita

Aplikasi KLSPEF mudahkan penyewaan dewan, kompleks sukan melalui dalam talian

|
- Diterbit 18 September 2022 4:09 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membangunkan Aplikasi Kuala Lumpur Sports, Event and Facilities (KLSPEF) yang memberikan kemudahan untuk penyewaan dewan dan fasiliti miliknya secara dalam talian.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata aplikasi ini bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini mudah untuk diakses dan digunakan oleh warga kota.

“Sekiranya sebelum ini tempahan bagi kemudahan dewan serbaguna dan kompleks sukan di Kuala Lumpur dilaksanakan menggunakan halaman web atau secara manual, kini, warga kota
hanya perlu membuat tempah
dewan dihujung jari menggunakan Aplikasi
KLSPEF ini.

“Dengan menggunakan aplikasi ini, warga kota dapat membuat semua urusan tempahan dan pembayaran secara atas talian dalam masa yang amat singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran Aplikasi KLSPEF di Dataran DBKL hari ini.

Menurut Mahadi, terdapat sejumlah 63 buah dewan serbaguna dan kompleks sukan yang terletak di 11 kawasan Parlimen sekitar bandaraya Kuala Lumpur yang sering digunakan warga kota untuk pelbagai tujuan.

“Selain penggunaan bagi majlis rasmi dan majlis perkahwinan, dewan serbaguna dan kompleks sukan ini juga menyediakan
kemudahan bersukan seperti gelanggang badminton, tenis, ping-pong, futsal, bola sepak, dan sepak takraw, bola tampar,” katanya.

Tambahnya, aplikasi mudah alih ini dibangunkan dalam dua versi iaitu Android dan iOS, kini telah boleh dimuat turun dari Playstore dan AppStore telefon masing- masing.

Mahadi berkata , pelaksanaan pendigitalan perkidmatan secara E2E (End-to-End) seperti aplikasi KLSPEF adalah selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan dalam talian.

“Usaha ini adalah seperti yang telah digariskan dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (2021 – 2025) dan ia selaras Pelan Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 2025.

“Inisiatif ini juga bagi mendukung Matlamat Pembangunan
Mampan (Sustainable Development Goals)
yang disarankan oleh Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations,” katanya.

Tambahnya, dengan lebih banyak aplikasi mudah alih yang diperkenalkan, ia dapat mempercepatkan perkhidmatan DBKL kepada warga kota sekali gus menggembirakan penduduk Kuala Lumpur yang kini telah mencecah 2 juta orang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas