Berita

SUKMA 2022: Pentas awal lahirkan jaguh dunia 

ISMAIL SABRI (empat kanan) ketika melancarkan SUKMA 2022 di DECTAR UKM, Bangi.
- Diterbit 18 September 2022 4:42 AM MYT

PENGANJURAN temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 perlu menjadi arena buat para atlet bangkit dan membuktikan kejaguhan untuk membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.

Demikian hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap para atlet yang terlibat dalam penganjuran SUKMA 2022.

Ismail Sabri percaya SUKMA 2022 merupakan pentas bagi mencungkil bakat baharu seterusnya melahirkan jaguh dunia seperti sebelum ini.

“Sukan SEA Kemboja tahun depan, Sukan Asia Hangzhou dan Sukan Olimpik Paris 2024 antara pentas pertama untuk mencetuskan kejaguhan.

“Ia juga bagi meneruskan kesinambungan atlet negara tahun ini yang melepasi sasaran 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa di Sukan SEA Vietnam, dan tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa di Sukan Komanwel Birmingham, Julai lalu, selain detik membanggakan apabila pasangan beregu badminton lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik muncul juara dunia,” kata beliau ketika merasmikan upacara pembukaan temasya Sukma 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Ismail Sabri berkata kerajaan akan terus meningkatkan kerancakan arena sukan negara termasuk memberi sokongan padu terhadap Program Podium dengan peruntukan sebanyak RM240 juta menerusi Rancangan Malaysia ke-12.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam berkata, matlamat penganjuran SUKMA tidak pernah tersasar daripada matlamat asalnya, malah semakin berkembang untuk melahirkan atlet yang memahami secara terperinci berkenaan industri sukan.

“Sukan seharusnya dilihat sebagai sektor yang berpotensi besar bagi menyumbang kepada pendapatan negara. Industri sukan adalah sumber ekonomi yang perlu diterokai dengan lebih meluas oleh semua pihak, khususnya para atlet,” kata beliau.

Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia bagi 2017, nilai industri sukan mencecah lebih RM18.8 bilion dengan melibatkan lebih 36,500 orang tenaga kerja.

SUKMA 2022 dianjurkan semula dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah selepas temasya dwitahunan itu tidak dapat diadakan pada 2020 di Johor kerana wabak COVID-19 19 yang melanda seluruh dunia.

Ia membabitkan sebanyak 426 acara iaitu 223 acara lelaki,184 wanita dan 19 campuran daripada 31 jenis sukan dipertandingkan dengan penyertaan 6,625 atlet dan 2,709 pegawai membabitkan 15 kontinjen negeri termasuk Brunei. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas