Berita

Anwar hadir Mesyuarat Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan

- Diterbit 11 Julai 2023 2:00 PM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini malam ini, bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Selain Anwar, beberapa pemimpin utama Kerajaan Perpaduan turut kelihatan menghadiri mesyuarat berkenaan iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mesyuarat turut disertai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup dan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mesyuarat bermula pada 8.30 malam itu, dijangka membincangkan beberapa perkara termasuk persiapan bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak, dengan hari mengundi pada 12 Ogos ini.

Tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri berkenaan pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas