Berita

ANMS jana kesihatan, kelangsungan rakyat

SIMSUDIN (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Cabaran Turun Berat Badan pada program ANMS, baru-baru ini.
- Diterbit 16 Julai 2023 5:00 AM MYT

PENGANJURAN Karnival Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dilihat amat bertepatan dalam mempromosikan aktiviti kecergasan agar individu boleh melakukan aktiviti harian dengan ­bertenaga dan mengurangkan faktor risiko kesihatan.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan, Tan Sri Anifah Aman, ­penganjuran Karnival ANMS itu merupakan salah satu aktiviti bagi mengurangkan faktor risiko masalah penyakit seperti ­jantung, diabetes, darah tinggi, obesiti dan sebagainya.

“Laporan National Health & Morbidity Survey (NHMS) 2019 mendapati ­hanya 25.1 peratus orang dewasa ­menjalani hidup tidak aktif walaupun terdapat ­peningkatan berbanding tahun 2015 ­iaitu 33.5 peratus.

“Namun kadar penyakit tidak ­berjangkit tidak berubah malah masih ­meningkat dan terdapat keperluan untuk terus mempromosikan hidup sihat aktif dalam kalangan masyarakat negara ini,” katanya ketika merasmikan Karnival Kecergasan Labuan peringkat Labuan 2023, ­baru-baru ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Francis Paul.

Program ANMS yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Labuan sarat ­dengan pelbagai pengisian aktiviti sukan dan kesihatan antaranya sukan rakyat, pertandingan aerodance, petanque, tarik tali serta pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu, pihak kerajaan telah ­menawarkan pelbagai program kesihatan melalui ANMS bagi menjana kesihatan dan kelangsungan kehidupan seluruh ­rakyat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas