Berita

Anjuran kali pertama Kejohanan Catur ‘online’ dapat sambutan luar jangka

- Diterbit 11 April 2021 9:30 AM MYT

SERAMAI 2,975 peserta daripada dalam dan luar negara mengambil bahagian pada penganjuran julung kali Kejohanan Catur Dalam Talian Piala Timbalan Menteri Wilayah, yang berlangsung di Putrajaya, semalam.

Jumlah penyertaan yang diterima penganjur bagi kejohanan peringkat Antarabangsa itu, jauh dari sasaran awal diramalkan 500 peserta, merupakan tanda aras penting terhadap budaya baharu bagi pertandingan catur secara maya tanpa merubah tahap prestij permainan menguji minda.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar, secara peribadi memuji keupayaan penganjur utama kejohanan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 16 (1) dan Kelab Catur Elite Presint 18, Putrajaya yang telah berjaya mengendalikan kejohanan catur secara dalam talian itu dengan efisien.

Beliau berkata, dengan jumlah peserta betanding seramai 2,975 orang daripada lapan buah negara, ia suatu pencapaian yang membanggakan bagi pelbagai pihak yang terlibat.

“Pertamanya saya ucapkan tahniah dan syabas kepada penganjur utama SMK Putrajaya Presint 16 (1) bersama rakan strategik lain kerana telah berjaya menganjurkan kejohanan secara dalam talian ini dengan jumlah penyertaan yang ramai.

“Untuk makluman, sejumlah 1,556 peserta lelaki dan 1,229 perempuan bertanding di dalam empat kategori, Bawah 9 Tahun; Bawah 12; Bawah 15 dan Bawah 17 Tahun pada kejohanan ini.

“Pertandingan ini turut diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk permarkahan 10 peratus Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK) untuk kesemua murid yang menyertai kejohanan ini,” katanya dalam ucapan perasmian Kejohanan Catur Dalam Talian Piala Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Peringkat Antarabangsa Tahun 2021, di Putrajaya semalam.

Berdasarkan statistik kejohanan kali ini, daripada 2,985 pesertabertanding, Malaysia diwakili 2,665 peserta manakala 120 peserta lain daripada luar negara termasuk Indonesia (51); Filipina (40) dan Thailand (6) serta Singapura (4).

Selain itu, kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM15,000 itu turut menarik penyertaan pesaing daripada luar Asia Tenggara iaitu Yemen, 8 peserta, India (7), Kazakhstan (3) dan Jordan (1).

Sementara itu, bagi Setiausaha Kelab Catur Elite Presint 18, Sendy Yanty Syaman, jumlah peserta mengambil bahagian pada kejohanan ini sangat mengujakan malah sama sekali tidak menjangka bilangannya mencecah hingga ribuan pesaing.

“Cabaran utama bagi kami yang secara langsung sebagai penganjur bersama kejohanan ini adalah memastikan pertandingan berjalan lancar serta proses pengadilannya telus dan berkredibiliti.

“Jadi antara usaha pastikan kualiti pengadilannya berprestij, kami menyediakan seramai 60 Arbiter secara fizikal dan virtual bagi memantau setiap perlawanan tepati peraturan dan tiada penipuan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan untuk meneroka potensi bagi menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan. –WILAYAHKU– SYAHIDI BAKAR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas