Artikel

Ancaman Covid-19 ke atas usahawan

SYARIKAT dan pusat beli-belah ternama juga terkesan dengan penularan wabak COVID-19.
- Diterbit 9 November 2020 4:57 AM MYT

Pandemik Covid-19 setakat ini telah meragut nyawa 300 orang, namun ia juga telah menyebabkan 800 ribu orang hilang pekerjaan dan entah berapa banyak perniagaan yang terkubur tanpa nisan.

Dalam keadaan begitu masih ramai yang tidak menyedari bahawa perniagaan dan ekonomi negara berada dalam keadaan yang sangat goyah dan jika tidak kena caranya boleh mengakibatkan lebih banyak yang gulung tikar.

Beberapa bulan lalu kita nampak ada sinar dalam meneruskan aktiviti ekonomi melalui fasa pemulihan sejak Ogos lalu. Malangnya, kegagalan mengawal sempadan di Sabah menyebabkan hari ini kita berhadapan satu lagi ‘setback’.

Sesetengah bahagian di Malaysia kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta Sabah adalah kawasan yang terjejas teruk akibat perintah-perintah kawalan ini.

Kemasukan pendatang tanpa izin melalui perairan Sabah dianggap antara punca terbesar merebaknya gelombang ini. Pilihan Raya Negeri Sabah yang membabitkan ramai orang dari Semenanjung turut menjadi pencetus tambahan menyebabkan pandemik ini kembali menular.

Namun tanpa PRN Sabah pun, pandemik ini pasti menular kembali kerana kita telah membenarkan sektor pelancongan domestik dan Sabah antara destinasi utama pelancongan domestik.

Justeru adalah penting untuk kerajaan dan rakyat berganding bahu mengawal kemasukan secara haram warganegara lain.

Penduduk Sabah perlu sedar bahawa kemasukan saudara dan sahabat dari negara lain mungkin bukan ancaman keselamatan bersenjata, namun ia sudah menjadi ancaman keselamatan kesihatan.

“Hari ini PKS dan usahawan mikro lebih memerlukan insentif yang dapat membantu mengurangkan impak pandemik, meringankan aliran tunai dan menyokong mereka hingga mereka dapat kembali berdikari.

Nasib Usahawan

Pihak paling banyak terjejas sudah tentulah sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro.

Dalam pada itu antara yang paling teruk terjejas ialah industri perkhidmatan, yang menggaji sekitar dua juta pekerja dalam sektor peruncitan, restoran, perkhidmatan pelancongan, hotel, pusat hiburan, sukan dan rekreasi.

Jika bulan lalu kita melihat ada sinar dalam industri ini. Kedai makan kembali meriah, hotel ada mula dibuka semula dan pusat-pusat sukan mula beroperasi. Malangnya, gelombang baharu Covid-19 yang lebih besar ini telah memaksa kerajaan melakukan PKPB.

Pelaksanaan PKPB datang dengan pelbagai SOP, yang sebahagian besarnya sangat wajar, namun ada sebahagian kecil mungkin boleh dilonggarkan demi memastikan kelangsungan PKS.

Beberapa hotel dan kompleks perniagaan yang baru menarik sedikit nafas sejak beberapa bulan lalu, kini terpaksa mengambil langkah mengurangkan operasi semula.

Memberi pinjaman mudah hanya menambah masalah masa hadapan. Kita tidak tahu bila ekonomi ini benar-benar boleh bergerak semula.

Hari ini PKS dan usahawan mikro lebih memerlukan insentif yang dapat membantu mengurangkan impak pandemik, meringankan aliran tunai dan menyokong mereka hingga mereka dapat kembali berdikari.

Mengurus Kos Tetap Perniagaan

Dalam perniagaan faktor sewa, utiliti dan penggajian adalah faktor tetap yang menganggu aliran tunai dan mendorong peniaga menutup perniagaan.

Di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor, faktor pembayaran sewa adalah sesuatu yang sangat menekan.

Kebanyakan pemilik hartanah boleh mengurangkan kadar sewa kepada peniaga baharu, namun tidak bersedia untuk mengurangkan sewa kepada peniaga sedia ada.

Mereka tahu peniaga sedia ada sukar meninggalkan premis kerana telah melabur banyak dalam pengubahsuaian dan promosi. Justeru walaupun tahu keadaan ekonomi tidak mengizinkan, mereka lebih bersedia membiarkan peniaga keluar berbanding mengurangkan sewa.

Peniaga pula cuba bertahan kerana memikirkan banyak wang telah dilaburkan. Akibatnya mereka membelanja simpanan untuk membayar sewa dalam keadaan tidak pasti bila ekonomi akan kembali pulih.

Pandangan saya, jika sewa premis mula mengambil simpanan anda selama berbulan-bulan, runding semula atau tutup sementara perniagaan. Tidak berbaloi menggunakan wang simpanan membayar sewa premis dalam masa yang panjang.

Penulis tidak pasti jika kerajaan mempunyai kuasa mengarahkan semua pemilik hartanah memberi diskaun antara 50 hingga 70 peratus di kawasan yang dikenakan PKPB, PKPDB dan PKPD.

Namun kerajaan harus memikirkan sesuatu bagi membolehkan hal ini dilaksanakan. Jika para usahawan diberi potongan sedemikian selama tempoh PKPB dan enam bulan selepasnya, maka banyak perniagaan dapat diselamatkan daripada ditutup.

Kerajaan juga boleh mengkaji memberi moratarium selama enam bulan kepada pinjaman atas premis-premis yang diberi arahan pemotongan sewa.

Dengan cara ini bukan sahaja penyewa dapat mengekalkan perniagaan mereka, tuan premis juga tidak berhadapan tekanan untuk membayar pinjaman bank.

Pasti ini bukan kerja mudah dan senang. Namun polisi seperti ini harus diberi pertimbangan serius bagi mengelak lebih ramai orang hilang perniagaan, hilang pekerjaaan dan bandar menjadi mati tanpa aktiviti perniagaan.

Selain sewa, kos elektrik merupakan antara bebanan kepada peniaga. Walaupun tiada pelanggan, peniaga tetap perlu membayar elektrik dengan kadar perniagaan yang jauh lebih mahal daripada kadar kediaman.

Kerajaan juga perlu menimbangkan untuk mengurangkan kadar elektrik premis perniagaan. Mungkin buat sementara waktu ia dikenakan tarif sama seperti tarif kediaman.

Program Subsidi Upah juga memerlukan pertimbangan dilanjutkan sehingga Jun tahun hadapan.

Ini akan membolehkan perniagaan yang masih belum pulih terus mengupah pekerja dan mengurangkan pemberhentian pekerja.

Ada yang bertanya mengapa kerajaan perlu menumpukan sangat kepada PKS dan usahawan mikro ini.

Realitinya, hampir 98.5 peratus perniagaan dalam negara berada dalam kategori ini. Ia dianggarkan menyumbang 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Justeru mahu tidak mahu kerajaan perlu meneruskan usaha membantu pemulihan semula segmen ekonomi PKS dalam jangka pendek dan sederhana bagi mengurangkan impak yang lebih dahsyat kepada ekonomi negara dalam masa beberapa bulan mendatang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas