Artikel

Pentingnya Belanjawan 2021 dilulus

BELANJAWAN 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat mesti dipersetujui demi kesejahteraan rakyat.
- Diterbit 9 November 2020 5:12 AM MYT

Hari ini 6 November 2020, Belanjawan 2021 akan dibentangkan di parlimen dalam suasana politik yang tidak menentu serta gejala pandemik Covid-19 yang belum menampakkan tanda akan reda.

Sehingga pojok ini ditulis, belum diketahui apakah inti pati bajet berkenaan. Namun dengan mengambil kira pandemik Covid-19 dan kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara, Adi percaya bajet berkenaan antara lain memberi tumpuan utama ke arah menangani isu berkenaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah membayangkan Belanjawan 2021 akan memberi fokus kepada usaha melawan Covid-19 dan mengembalikan kehidupan rakyat seperti biasa.

Ke arah matlamat tersebut, beberapa langkah tambahan bakal diperkenalkan dalam bajet tersebut dengan lebih banyak peruntukan untuk agensi yang terlibat dalam memerangi Covid-19.

Ini termasuk peruntukan untuk kos rawatan dan kemudahan perubatan serta keperluan untuk barisan hadapan yang bertungkus lumus berkorban masa dan tenaga, malah nyawa, demi menjamin kesihatan rakyat terpelihara.

Dijangkakan juga Belanjawan 2021 bakal membawa berita gembira dengan pemberian bantuan kepada rakyat yang terjejas dengan Covid-19 selain bantuan yang pernah diberi sebelum ini.

Jelas aspek kesihatan dan kebajikan untuk semua rakyat sentiasa diberi keutamaan.

Untuk sektor korporat, industri dan perdagangan juga dijangka diberikan insentif dalam usaha membantu mereka menghadapi kesan akibat akibat Covid-19.

Bukan sedikit tempias yang terkena kepada sektor ekonomi negara akibat pandemik tersebut sehingga menyebabkan ada perniagaan yang terpaksa gulung tikar atau beroperasi dalam kapasiti minimum.

Akibatnya, ramai kehilangan kerja dan seterusnya kehilangan pendapatan. Ramai menghadapi masalah aliran tunai untuk meneruskan kehidupan, di samping menanggung pelbagai beban pinjaman.

Kerajaan tidak berdiam diri. Dalam usaha membantu golongan ini, kerajaan memberikan pelbagai bantuan dan insentif bagi meringankan beban mereka yang terkesan.

Ini termasuk bantuan kewangan kepada penerima yang layak dalam pelbagai kategori, khususnya mereka daripada golongan B40 serta mereka yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19.

Selain meringankan beban rakyat, kerajaan juga melaksanakan penangguhan pembayaran pinjaman bank, baik untuk perumahan atau kenderaan.

Ini untuk memberi kelegaan kepada orang ramai yang terbeban dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar.

Di Wilayah Persekutuan sendiri, bermacam-macam bantuan diberi kepada warganya dalam mendepani Covid-19.

Yang terbaharu ialah Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 dengan peruntukan RM39.75 juta dan Inisiatif Wilayah Cakna 4.0 dengan peruntukan keseluruhan RM3.01 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi berkaitan.

Ini merupakan lanjutan daripada Program Inisiatif Wilayah Cakna dari Mac hingga 12 Oktober lalu berjumlah RM108.64 juta.

“Adi percaya wakil rakyat cukup bijak membezakan antara kepentingan politik dan kepentingan rakyat serta negara. Dalam suasana ekonomi yang sukar dan masa depan yang tidak menentu akibat Covid-19, kewarasan wajar mengatasi cita-cita politik dan peribadi.

Adi percaya warga Wilayah Persekutuan khususnya dapat melihat sendiri bagaimana KWP di bawah teraju menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa sentiasa berusaha memberi bantuan berterusan kepada warga penduduknya.

Jika di Wilayah Persekutuan sendiri inisiatif dan insentif yang disediakan untuk warganya begitu menyeluruh, Adi percaya insentif yang bakal diberikan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2021 lebih komprehensif.

Namun yang penting untuk memastikan matlamat belanjawan itu sampai kepada rakyat ialah belanjawan itu sendiri mesti terlebih dahulu diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Tanpa kelulusan, apa yang diperincikan dalam belanjawan itu tidak akan dapat dilaksanakan. Jika ini berlaku, kesannya amat serius kepada negara dan rakyat.

Ini bererti tiada peruntukan perbelanjaan bagi mengurus dan membangunkan negara untuk tahun 2021.

Bagaimanakah pentadbiran dan pembangunan negara hendak dilaksanakan jika tiada peruntukan?

Justeru Adi percaya wakil rakyat sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang menyedari betapa seriusnya isu belanjawan ini dan padah yang terpaksa dilalui jika ia gagal mendapat kelulusan parlimen.

Oleh itu dalam isu penting seperti ini, mereka wajar bersatu hati memastikan belanjawan ini diluluskan, tanpa mengira fahaman politik. Ketepikan pegangan politik dalam menghadapi isu penting untuk negara ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah, sekalipun menolak pengisytiharan darurat yang dipohon kerajaan baru-baru, menitahkan agar kepentingan politik diketepikan dan memastikan Belanjawan 2021 diluluskan.

Titah baginda, belanjawan ini amat penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat, terutama dalam usaha mengekang kemelut pandemik Covid-19.

Baginda juga menzahirkan puas hati dengan usaha kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin mendepani masalah Covid-19 dan menyeru rakyat bersama-sama mengekang pandemik tersebut.

Adi percaya para wakil rakyat dapat memahami dan menyelami hasrat Seri Paduka yang sentiasa memberi keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat.

Oleh itu langkah terpuji yang wajar mereka lakukan ialah berkongsi aspirasi.

Ketika Belanjawan 2021 dianggap ujian getir untuk kerajaan kerana dibimbangi akan dimanipulasi oleh mereka yang lebih mengutamakan politik dan kepentingan diri, nasihat Seri Paduka wajar dijadikan pedoman dan dipatuhi.

Adi percaya wakil rakyat cukup bijak membezakan antara kepentingan politik dan kepentingan rakyat serta negara.

Dalam suasana ekonomi yang sukar dan masa depan yang tidak menentu akibat Covid-19, kewarasan wajar mengatasi cita-cita politik dan peribadi.

Inilah waktu membuktikan bahawa mereka yang dipilih oleh rakyat membuktikan kata-kata ‘demi agama, bangsa dan negara’ yang sering dilaungkan benar-benar mereka hayati bukan sekadar slogan kosong.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas