Artikel

Wilayah Cakna 3.0 inisiatif yang menyeluruh

- Diterbit 29 Oktober 2020 8:00 AM MYT

TAHUN 2020 sudah pastinya akan menjadi tahun yang tidak akan dilupai dan akan dikenang sampai bila­-bila.

Satu per satu dugaan tiba, bermula dengan penyebaran COViD­-19 hinggalah ke masalah ekonomi.

Namun begitu, sehingga vaksin ditemui, tiada apa yang boleh kita lakukan untuk melawannya melainkan dengan cara memutuskan rantaian COViD-­19 iaitu dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Akan tetapi, disebalik episod hitam yang melanda negara, kita juga dihadiahkan dengan kenangan manis apabila rakyat kita bersatu padu dan membantu antara satu sama lain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak kira bangsa dan agama.

Pada minggu yang lalu, Tan Sri TPr Annuar Musa selaku Menteri Wilayah Persekutuan juga telah mengumumkan inisiatif tambahan khusus kepada warga Wilayah Persekutuan berjumlah RM39.75 juta bagi membantu mereka mendepani cabaran ini.

Setelah meneliti inisiatif Wilayah Cakna 3.0 ini, saya berasa lega kerana Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memberikan penekanan yang khusus kepada golongan B40 yang sangat terkesan dengan masalah ekonomi ini.

“Saya berasa lega kerana Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memberikan penekanan yang khusus kepada golongan B40 yang sangat terkesan dengan masalah ekonomi ini. 

Pertama, KWP telah mengecualikan bayaran sewa kepada sesiapa yang menetap di rumah Projek Perumahan Rakyat milik DBKL, bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2020.

Bantuan ini akan meringankan beban 40,000 penyewa yang kebanyakannya merupakan golongan B40 dan menambahkan aliran wang dalam pasaran yang boleh merancakkan kegiatan ekonomi negara.

Kedua, bagi mengurangkan kadar pengangguran dan menggalakkan keusahawanan, pihak KWP amat menggalakkan mereka yang kehilangan pekerjaan untuk memulakan perniagaan sendiri.

Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan bantuan kepada pelajar sekolah khususnya daripada keluarga golongan B40. Mereka akan menerima baucar bantuan buku latihan sekolah bernilai RM100 untuk setiap seorang daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). Baucar buku ini boleh digunakan di koperasi sekolah masing-­masing bagi membeli barangan keperluan mereka.

Keempat, saya kagum dengan kesungguhan pihak KWP memutuskan rantaian penularan COViD-­19 dengan menggalakkan persatuan penduduk di Kuala Lumpur untuk mengadakan program pencegahan wabak COViD-­19.

Selain daripada pihak KWP, pihak Jabatan Agama islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut memberikan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan COViD­-19 ini. JAWI telah memperuntukkan sejumlah RM1.4 juta kepada golongan asnaf dan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.

Selain daripada bantuan kewangan, bantuan ini juga boleh didapati dalam bentuk Program Dapur it’am, Program Bantuan Dakwah dan Program Bantuan Baitul Rizq Masjid Wilayah yang diadakan di masjid dan surau Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan.

Tidak dilupakan mahasiswa juga terkesan COViD­-19 ini. Justeru itu pihak MAiWP turut memberikan bantuan kecemasan khas COViD­-19 berjumlah RM12.7 juta yang merangkumi bantuan makanan dan sewa kediaman khususnya kepada mahasiswa IPTA yang berada dalam WP Kuala Lumpur.

Pada pandangan saya, Wilayah Cakna 3.0 merupakan inisiatif menyeluruh yang membela nasib semua golongan yang perlukan bantuan. Syukur kerana warga kota mempunyai menteri yang peka dengan kesusahan rakyat.

Penulis merupakan Pengerusi Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (Wilayah Persekutuan), LIM SOON PIN
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas