Selebriti

Amylea sah bergelar isteri anggota bomba Singapura

AMYLEA di samping suaminya, Ash.
- Diterbit 27 November 2023 7:00 AM MYT

PENYANYI Amylea Azizan, 37, selamat bergelar isteri kepada pegawai bomba Singapura, Mohammad Aqbar bin Mohamad, 40, dengan sekali lafaz pada tarikh yang dirahsiakan.

Amylea telah selamat dinikahkan oleh wali hakim di majlis pernikahan yang berlangsung di rumah keluarga penyanyi itu.

Dalam majlis yang tertutup dan sederhana Amylea menerima mas kahwin senaskhah Al-Quran dan telekung serta hantaran bernilai RM8,888. Angka  itu dipilih sebagai lambang cinta infiniti dua pasangan sejoli itu.

Kedua-dua mempelai tampil memakai dua busana rekaan pereka fesyen terkenal, Teruntum Putih Redzuan Alias.

Majlis yang berlangsung secara sederhana itu dihadiri tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat.

Majlis resepsi bakal berlangsung pada 27 Januari tahun depan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kendati itu menzahirkan rasa syukur dirinya sudah pun  bergelar isteri tanpa disangka kerana perkenalannya dengan Aqbar atau lebih dikenali sebagai Ash begitu singkat.

“Ternyata Allah itu maha berkuasa. Dan dalam fikiran saya yang tidak bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini, tup-tup, saya kini sudah bergelar isteri. Alhamdulillah.

“Perkenalan saya dengan Ash pun melalui media sosial sejak beberapa  bulan lalu. Bila dah selesa berkawan, Ash terus melamar saya.

“Selepas  mengamalkan beberapa doa dan solat istikharah, ada petanda baik yang berlaku. Dan kemudian dia terus berjumpa dengan keluarga saya. Alhamdulillah, saya tak pernah setenang ini sejak Ash hadir dalam hidup saya,” katanya.

Ash pula menyifatkan Amylea seorang wanita yang bijak dan serba serbi tahu mengenai segala perkara, membuatkan dirinya tertarik pada penyanyi itu.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini mereka terpaksa melalui kehidupan jarak jauh kerana tugasannya sebagai pegawai Bomba di Singapura.

“Mujur Amylea faham dengan situasi ini dan kami sedang mencari jalan macam mana nak duduk sekali. Perkara ini berlaku terlalu pantas. Saya jugak tidak sangka perkenalan singkat kami ini diakhiri dengan penyatuan cinta yang indah. Maka, tengoklah macam mana nanti, just go with the flow,” tuturnya.

Sementara itu, bersempena dengan perkahwinan itu, Amylea turut tampil dengan single lagu terbaharu berjudul Panji Putih Buat Pangeran, didedikasikan khas buat suaminya.

Menurut Amylea, lagu itu dicipta sebagai tanda cinta mereka yang akan kekal hingga akhir hayat dan dapat didengari oleh anak cucu mereka satu hari nanti.

“Lagu ini berkisarkan kedegilan hati saya yang merasakan hidup ini seperti sudah berakhir. Panji Putih itu diibaratkan seperti saya mengalah (bendera putih). Dan Pangeran pula sebagai tanda Ash sebagai orang barisan hadapan yang kerjanya saya hormat dan pandang tinggi.

“ Ash meminati perkara-perkara tradisional dan saya gabungkan citarasa saya dan dia dengan menghasilkan lagu ini dalam genre keroncong moden,” ujarnya.

Panji Putih Buat Pangeran akan dilancarkan pada penghujung Disember nanti dan  peminat boleh mula mendengar ‘teaser’ di media sosial penyanyi itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas