Artikel

Amalkan kebersihan ketika perayaan

DALAM menyambut apa juga perayaan, kebersihan mesti selalu diutamakan.
- Diterbit 14 September 2023 5:16 AM MYT

MINGGU lalu dalam ruangan ini Adi menulis mengenai tiada lagi maaf bagi para penghuni flat di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan WP Putrajaya jika kawasan kediaman mereka kotor.

Selama ini, untuk tempoh yang lama, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan memberi kelonggaran dan budi bicara terhadap penghuni.

Tiada tindakan diambil terhadap 5,500 unit strata di ibu negara meliputi 750,000 unit rumah di Kuala Lumpur dan 3,000 unit kediaman di Putrajaya yang didapati kotor. Hanya nasihat dan peringatan diberi.

Setelah sembilan tahun kelonggaran diberi, tiada perubahan sikap ditunjukkan oleh para penghuni untuk menjadikan kawasan kediaman mereka bersih dan selesa. Justeru mulai Januari 2024 tiada lagi tolak ansur. Membiarkan kawasan kediaman kotor adalah satu kesalahan. Denda sehingga RM1,000 akan dikenakan bagi setiap kesalahan.

Tiada pihak yang harus menyalahkan SWCorp atas ketegasan ini. Setelah peringatan dan kelonggaran diberi tetapi dipersiakan, itu sahajalah cara yang wajar dilakukan untuk memberi pengajaran memperbaiki diri.

Pada Adi, ini menyerlahkan bahawa aspek kebersihan perlu dijadikan amalan hidup seharian walau oleh siapa pun tanpa mengambil kira di mana mereka berada. Ini sejajar dengan konsep kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Minggu ini Adi ingin sekali lagi menyentuh mengenai pengabaian kebersihan, kali ini tertumpu di WP Putrajaya sempena sambutan ulang tahun ke-66 kemerdekaan pada 31 Ogos lalu di Dataran Putra. Aspek kebersihan diabaikan pada sambutan tersebut. Walaupun sudah berlalu, perkara ini perlu dipaparkan agar menjadi pengajaran.

Sambutan Hari Kebangsaan itu dikatakan antara yang paling meriah pernah diadakan dengan dihadiri oleh lebih 100,000 orang. Tetapi sayangnya dalam kemeriahan ini, kebersihan dipandang ringan. Seolah-olahnya tidak mengapa membuang sampah dalam suasana gembira Hari Kebangsaan.

Orang ramai yang hadir didapati membuang sampah sarap dan kotoran sesuka hati sehingga menjelikkan pemandangan di pusat pentadbiran negara itu. Perkara ini disahkan sendiri oleh syarikat pembersihan, Alam Flora.

Bukan sedikit jumlah sampah sarap yang dibuang. Menurut Alam Flora, yang melakukan kerja pembersihan setelah acara selesai, jumlah sampah yang dikutip mencecah sehingga 20 tan. Ini semua akibat sikap tidak bertanggungjawab orang ramai.

Pekerja syarikat pembersihan itu bekerja keras membersihkan kawasan Dataran Putra, mengutip setiap sampah sarap yang dibuang. Seramai 125 pekerja terlibat dengan kerja pembersihan yang dilakukan dari pukul 4 pagi hingga 7 malam.

Bayangkan lamanya masa yang diambil untuk membersihkan, belum mengambil kira penat lelah. Justeru, usaha para pekerja ini memang wajar dipuji dan pada masa sama sikap yang hadir sangat dikesali.

Kesemua ini dapat dielakkan jika para pengunjung berdisiplin serta bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran. Bukan tidak ada tong sampah disediakan. Adi difahamkan, Alam Flora menyediakan 700 tong sampah bergerak di venue sambutan untuk kemudahan orang ramai.

Tetapi orang ramai lebih memilih membuang sampah merata-rata. Mungkin pada mereka ini lebih senang, main campak sahaja daripada berjalan menuju ke tong sampah. Perbuatan ini tidak menampakkan kematangan atau peduli kebersihan.

Jika diteliti, keadaan sama juga berlaku apabila Sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Orang ramai yang hadir bukan sahaja membuang sampah merata-rata tetapi juga merosakkan pokok-pokok dan tanaman hiasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bahu jalan sehingga menyebabkan DBKL menanggung banyak kerugian.

Adi berharap apa yang berlaku menjadi pengajaran dan peringatan agar perbuatan sama tidak berulang pada masa hadapan. Dalam menyambut apa juga perayaan, kebersihan mesti selalu diutamakan. Bergembiralah tetapi jangan kotorkan persekitaran.

Adi—Bersih cerminan diri

KUALA LUMPUR JADI SEPERTI DHAKA?

DI Kuala Lumpur wujud kawasan ‘China Town’ di Jalan Petaling dan ada ‘Little India’ di Brickfields. Kedua-dua kawasan ini memang sudah terkenal di ibu negara serta menjadi tumpuan pelancong luar.

Tetapi yang merisaukan kini wujud pula satu lokasi baharu dikenali dengan nama jolokan ‘Bangla Street’ yang tiada kenamengena dengan warga tempatan. Sebaliknya kawasan ini menjadi ‘perkampungan’ dan tempat berniaga warga asing, khususnya Bangladesh.

Memetik laporan media, beberapa kawasan perniagaan di sekitar Kuala Lumpur yang dahulunya dipenuhi oleh warga tempatan kini sudah diambil alih oleh warga asing. Ini termasuk Jalan Yap Ah Loy dan Jalan Tun Tan Siew Sin.

Mereka yang menguasai kawasan tersebut terdiri daripada warga Myanmar, Rohingya dan Bangladesh. Kerana itulah kawasan tersebut dipanggil ‘Bangla Street’, membayangkan majoriti mereka di kawasan itu adalah warga Bangladesh.

Bagi Adi, ini perkembangan yang merimaskan. Warga asing nampaknya sudah berada di sana sini menguasai kawasan perniagaan di ibu kota secara haram. Telah sering didedahkan ramai daripada mereka berniaga di kawasan strategik seperti Pasar Borong Kuala Lumpur.

Tentu situasi ini menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan peniaga warga tempatan kerana ia menjejaskan perniagaan mereka. Keadaan sudah menjadi terbalik, seolah-olah warga tempatan pula menumpang berniaga.

Namun peniaga warga asing ini berani dan degil. Berani kerana melanggar peraturan orang asing tidak dibenar berniaga di negara ini. Malah mereka berniaga tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh DBKL.

Degil kerana tidak serik dengan tindakan yang diambil oleh DBKL. Walaupun diberi amaran, notis dan kompaun, mereka sudah lali. Hari ini diserbu dan dikenakan tindakan, esok lusa kembali berniaga. Mereka mempermainkan peraturan negara ini.

Kehadiran warga Bangladesh di Jalan Yap Kwan Seng dan Jalan Tun Tan Siew Sin tidak terhenti di situ sahaja. Media juga melaporkan senario yang sama di kawasan Bukit Bintang dan sekitarnya seperti Jalan Imbi dan Pudu.

Memetik seorang warga tempatan seperti dilapor media, berada di kawasan Bukit Bintang kini seperti di Dhaka, ibu negara Bangladesh. Ini kerana terdapat peningkatan jumlah ketara warga Bangladesh di situ.

Pada sebelah pagi, dikatakan ramai warga Bangladesh, juga warga asing Nepal dan Indonesia, bergerak menuju ke perhentian bas atau berjalan kaki menuju ke tempat kerja di Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang. Mereka dipercayai tinggal di flat sekitar Bukit Bintang.

Adi percaya perkara ini dalam perhatian pihak berkuasa. Pelbagai langkah kawalan dan pencegahan akan terus diambil. Adi berharap Jabatan Imigresen, juga pihak polis terus memantau dan menjalankan operasi terhadap warga asing ini, terutama bagi menjejaki yang memasuki negara ini secara haram dan berniaga secara haram.

Adi—Pernah sampai ke Dhaka

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas