Artikel

Menara Komunikasi di Kampung Kota Tampan beri manfaat kepada penduduk

LAWATAN kerja Saarani Mohamad (empat dari kiri) ke menara telekomunikasi di Kampung Kota Tampan, Perak.
- Diterbit 14 September 2023 6:00 AM MYT

PENDUDUK Kampung Kota Tampan, Lenggong, Perak kini dapat merasai pengalaman jaringan komunikasi selular dan liputan 4G yang lebih baik berbanding sebelum ini. Ia berikutan, satu daripada dua buah menara komunikasi yang dirancang di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan, Perak telah siap dan mula beroperasi sejak 12 Mei lalu.

Ia bukan sahaja memudahkan penduduk setempat dari segi jaringan komunikasi bahkan menerusi penggunaan aplikasi digital, turut membolehkan penduduk meningkatkan kemahiran diri dalam berhadapan dengan era digital yang pesat berkembang.

Usaha tersebut adalah selari dengan komitmen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menyokong agenda Perak Sejahtera 2030 yang merupakan sebuah pelan komprehensif pembangunan jangka masa panjang bagi negeri Perak.

Selain itu, MCMC juga turut berusaha menjayakan perluasan jaringan 5G ke seluruh negeri Perak apabila sehingga penghujung Ogos 2023, liputan 5G bagi kawasan berpenduduk telah mencapai sebanyak 70.8 peratus.

Secara keseluruhannya untuk pelan JENDELA, sebanyak 92 daripada 206 buah menara komunikasi baharu atau bersamaan dengan 46.66 peratus di Perak telah siap dibina setakat Julai 2023.

Hasil pelaksanaan ini, status liputan 4G di Perak sehingga suku kedua 2023 ialah 97.38 peratus.

Sementara itu, di DUN Kota Tampan, turut terdapat dua buah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang berfungsi menyediakan capaian jalur lebar secara kolektif di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan Internet.

Dua buah PEDi tersebut adalah PEDi Lenggong dan PEDi Kampung Raban apabila masing-masing telah mula beroperasi sejak tahun 2009 dan 2013.

Sehingga kini, 71 buah PEDi beroperasi di seluruh negeri Perak telah memberi manfaat kepada pelbagai lapisan komuniti untuk meningkatkan kemahiran digital dalam pendidikan dan keusahawanan. Ini sekali gus menyumbang kepada usaha negara dalam melahirkan masyarakat digital yang inklusif.

Sementara itu, bagi melihat perkembangan ini secara lebih dekat, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turun padang meluangkan masa meninjau menara komunikasi di stesen pemancar Kampung Kota Tampan yang telah beroperasi.

Stesen tersebut dibangunkan di bawah inisiatif JENDELA dikelolakan oleh MCMC dengan kerjasama Edotco sebagai syarikat swasta yang dilantik dan CelcomDigi selain Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) selaku anak syarikat negeri sebagai Agensi Setempat Telekomunikasi Negeri (OSA Telco Negeri) dalam pembangunan tersebut.

Turut sama dalam lawatan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Mohd Azlan Helmi Helmi; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Salbiah Mohamed; Ketua Bahagian Transformasi dan Koordinasi Negeri MCMC, Bukhari Yahya dan Pengarah MCMC Negeri Perak, Mohd Irwan Mohamed. – WILAYAHKU

SAARANI MOHAMAD (tengah) ketika sesi lawatan kerja ke PEDi Kampung Raban, Perak.
MENINJAU keadaan di menara telekomunikasi Kampung Kota Tampan, Perak.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas