Berita

Amal Team sedia khidmat pengurusan jenazah bergerak

PERTUBUHAN Amal Team menawarkan perkhidmatan lori pengurusan jenazah bergerak secara percuma buat orang awam di sekitar Lembah Klang.
- Diterbit 18 Disember 2021 6:00 AM MYT

BAGI membantu mempermudahkan urusan jenazah, Pertubuhan Amal Team menyediakan perkhidmatan lori pengurusan jenazah bergerak buat warga Lembah Klang yang memerlukan.

Pengasas dan Pengerusi Pertubuhan Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol, 37, berkata perkhidmatan ini merangkumi segala urusan seperti mandi, kapan, solat termasuk penghantaran jenazah yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Amal Team.

Khidmat lori mudah alih yang mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti sistem air bersih, tangki simpanan air kotor, bekalan elektrik, generator, sistem penghawa dingin dan peralatan asas mandian jenazah.

ZULHAIRI

“Kita uruskan semua di dalam lori termasuklah solat jenazah yang boleh memuatkan seramai 15 orang dan segala proses pengurusan dikendalikan oleh Sukarelawan Amal Team,” katanya kepada Wilayahku.

Sementara itu, Zulhairi berkata, idea mewujudkan lori bergerak ini ekoran pihaknya banyak menerima panggilan telefon meminta bantuan menguruskan jenazah di kawasan pedalaman dan perumahan seperti flat dan apartment yang kebanyakannya tidak mempunyai tempat khusus selain masjid dan surau yang jauh.

“Ada juga dikalangan mereka yang tidak berkemampuan untuk membayar kos pembiayaannya kerana terlalu tinggi. Jadi saya fikir mudah sekiranya ada sebuah tempat pengurusan jenazah bergerak yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan,” jelasnya yang telah menguruskan lebih 40 jenazah bersama Amal Team.

Berkongsi tentang caj yang dikenakan terhadap perkhidmatan ini, Zulhairi berkata, inisiatif yang ditawarkan ini adalah percuma tanpa meminta sebarang pembayaran sebaliknya waris keluarga itu sendiri menyumbang ikhlas ke dalam akaun mereka.

Bagi warga Lembah Klang yang memerlukan perkhidmatan lori pengurusan jenazah percuma oleh pihak Amal Team, boleh menghubungi nombor talian 012-2493378 (Zulhairi) atau melayari laman sosial Facebook Mohd Zulhairi Zainol untuk mendapatkan sebarang maklumat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas