Berita

Aidil bangga jadi jurulatih muda

AIDIL bersemangat membuat balingan dalam kejohanan sukan lontar peluru yang disertainya.
- Diterbit 19 Disember 2021 2:00 AM MYT

ATLET lontar peluru, Muhammad Aidil Taufek, 22, bersyukur kerana terpilih menjadi jurulatih atlet Wilayah Persekutuan awal tahun lalu.

Biarpun masih muda namun tugas sebagai jurulatih balingan disambut dengan penuh keterujaan kerana ingin memastikan atlet lontar peluru dididik sebaiknya sedari akar umbi lagi.

“Di Malaysia saya lihat jurulatih kurang menekankan cara asas yang perlu diketahui kanak-kanak lebih-lebih lagi jika mereka dilihat berpotensi untuk bergelar atlet lontar peluru.

“Kebanyakan yang datang ketika usia remaja tidak tahu langsung asas yang mudah seperti melompat dan sebagainya. Jadi terpaksa mulakan dari awal, sudah tentu ia merugikan banyak masa. Sepatutnya mereka dah tahu cara pegang bola, melompat dan sebagainya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Menyedari kelemahan tersebut, Aidil berhasrat untuk mengadakan kelas mahupun ceramah kepada guru-guru sukan di peringkat sekolah berkenaan cara asas yang perlu diajar kepada murid-murid.

“Ini antara cadangan yang akan saya laksanakan dan semoga ia dapat dipercepatkan,” ujarnya yang juga sedang giat melatih atlet wilayah yang akan bertanding di SUKMA Kuala Lumpur tahun hadapan.

Aidil yang juga merupakan atlet SUKMA akan datang mengakui beruntung kerana dapat turut berlatih ketika menjalankan tugas sebagai jurulatih.

“Saya rasa bernasib baik dapat buat dua perkara dalam satu masa. Sambil sibuk mengajar saya juga boleh berlatih bersama-sama mereka. Ini sesuatu yang jarang diperolehi,” ujarnya.

Tambah Aidil yang juga merupakan jurulatih kelab Quantum Athletics, dia perlu sentiasa bijak membahagikan masa kerana dia juga perlu menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran.

“Aktiviti seharian saya memang sibuk, menjadi jurulatih lima kali seminggu namun dalam masa yang sama perlu sentiasa memastikan pelajaran tidak akan tercicir,” ujar pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas