Artikel

Ahli Parlimen perlu tonjolkan karisma

||
- Diterbit 7 November 2019 8:29 AM MYT

SIDANG Dewan Rakyat merupakan satu platform yang amat penting dalam menggubal dasar negara di samping mengangkat aduan rakyat.

Maka sewajarnya Ahli-ahli Parlimen mengambil kesempatan itu untuk membawa idea-idea bernas dan membawa masalah-masalah yang dihadapi penduduk di kawasan masing-masing kepada pengetahuan pihak kerajaan.

Sudah pasti setiap perkara yang dibangkit bakal dicatat oleh wakil-wakil agensi di setiap kementerian yang turut hadir mengikuti sidang tersebut.

Usaha untuk meningkatkan martabat Parlimen Malaysia telah dilakukan termasuk melalui beberapa perubahan dari segi wujudnya pelbagai bentuk Jawatankuasa Parlimen dan perubahan dalam aturan mesyuarat termasuk ada sesi khas menteri sendiri yang perlu menjawab dan sebagainya.

Namun apa yang menjadi kekesalan apabila, suasana Sidang Dewan Rakyat tidak pernah berubah sejak dari dahulu apabila masih ada sebilangan Ahli Parlimen malah ada yang telah lama berada di kerusi Parlimen memperlihatkan telatah yang tidak bertamadun.

Ini termasuk tidak segan silu mengeluarkan perkataan yang bersifat ‘unparliamentary’. Sewajarnya peraturan mesyuarat dijadikan panduan untuk membolehkan perjalanan sidang berjalan lancar dan masing-masing menghormati peranan dimainkan Speaker.

Bukan mereka tidak pernah didedahkan sesi bahas di Parlimen negara-negara maju yang menyaksikan mutu perbahasan mereka lebih dibanggakan.

Barisan pembangkang yang sebelum ini pernah menjadi kerajaan sepatutnya mengambil kesempatan untuk menarik semula perhatian rakyat kepada mereka dengan membangkitkan isu-isu atau topik yang benar-benar serius.

Begitu juga penyokong kerajaan, mereka harus tampil lebih berani dalam mempertahankan setiap dasar yang dibawa oleh kerajaan semasa.

Tahap keseriusan Ahli-ahli Parlimen terutama penyokong kerajaan juga baru-baru ini dipersoalkan apabila mereka tidak hadir dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020.

Tanpa dinafikan ada kalanya suasana perbahasan agak dingin terutama pada waktu petang dan memerlukan sedikit suasana soal jawab yang lebih santai.

Watak Ahli-ahli Parlimen yang boleh mencetuskan suasana ceria memang diperlukan tetapi janganlah hingga aksi-aksi mereka itu menjadi bahan troll oleh netizen di media sosial.

Dengan sesi sidang dapat ditonton secara live, sewajarnya setiap Ahli Parlimen memperlihatkan karisma mereka berhujah dan menyampaikan hasrat rakyat ke peringkat tertinggi dalam penggubalan undang-undang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas