Artikel

Tingkatkan kemudahan pengguna

ORANG ramai memilih pengangkutan awam tren kerena ia lebih selesa dan dapat mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya. -Gambar hiasan.
- Diterbit 7 November 2019 9:19 AM MYT

Pada hari Jumaat dua minggu lalu penulis ada acara untuk dihadiri di sekitar kawasan Jalan Semantan, Bukit Damansara. Acara itu sebelah malam dan penulis mahu pergi ke situ dengan menggunakan pengangkutan awam. Penulis tidak biasa di kawasan itu.

Paling akhir penulis ke situ adalah pada sekitar tahun 2000-an ketika mana Transit Aliran Massa (MRT) belum ada. Sekitar Jalan Semantan itu adalah kawasan padat yang berbukit dengan laluan jalan sempit yang menambahkan kesesakan lalu lintas dan kesukaran memperoleh tempat letak kereta.

Untuk ke sana, penulis mencari maklumat menggunakan aplikasi Moovit yang menawarkan opsyen bagi pengangkutan awam ke situ. Sebagai seorang warga emas, langkah menggunakan aplikasi itu pun merupakan satu perjuangan dan pencapaian. Tetapi penulis berazam untuk menggunakan pengangkutan awam supaya tidak menjadi penyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan kekurangan tempat letak kereta di Kuala Lumpur, di samping untuk merendahkan paras stres dalam menghadapi karenah sebahagian pemandu kenderaan yang kurang bertamadun.

Maka sebaik saja mencapai usia kelayakan, penulis mendapatkan kad myRapidKL untuk warga emas di pejabatnya di stesen Pasar Seni. Dengan kad itu, penulis boleh menikmati separuh harga tambang bagi perjalanan menggunakan perkhidmatan RapidKL seperti LRT, MRT, BRT, Monorel, Komuter dan bas.

Kad itu ada gambar pemegangnya. Ia tidak boleh digunakan oleh orang lain dan boleh digunakan dalam jangka masa sepuluh tahun. Tetapi seorang pemegang mesti menggunakan kad itu sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mengelakkannya daripada dihentikan keaktifannya.

Tidak ramai orang di kaunter. Ada tiga orang warga emas termasuk penulis yang memohon untuk mendapat kad itu. Borang perlu diisi, nombor giliran mesti diambil dan foto pemegang juga dirakam. Di pejabat itu, kelihatan juga dua orang pelanggan yang mahu menebus kad mereka. Ini kerana mereka sudah tidak lagi menggunakannya dan masih terdapat baki wang di dalamnya. Mereka diarahkan supaya berurusan di tingkat dua KL Sentral.

Papan tanda

Dari stesen di atas itu tidak ada papan tanda di mana terletaknya pejabat itu. Penulis perlu bertanya di kaunter berhampiran get masuk. Pejabat itu terletak di bahagian bawah stesen itu. Dengan ada kad itu, ia memudahkan seseorang untuk menggunakan pengangkutan awam di Lembah Klang. Ini kerana bas RapidKL kini hanya menerima penggunaan kad dan sebarang wang tunai tidak lagi dilayan.

Penulis bergerak dari Seri Gombak yang terletak di Selangor. Dengan menaiki pengangkutan awam e-hailing, penulis pergi ke stesen LRT Gombak yang merupakan penghujung sebelah timur Gombak Line. Penghujung sebelah selatan ialah Putra Heights, juga di Selangor. Sebenarnya, untuk ke stesen itu, penulis juga boleh menggunakan bas RapidKL nombor T201 yang sampai di Wira Damai, satu penempatan di kaki bukit Batu Caves.

Buat masa ini, ada dua perkhidmatan e-hailing yang penulis guna iaitu Grab dan MyCar. Umumnya MyCar menggunakan tambang lebih murah sedikit. Dari pengalaman, kebanyakan pemandu MyCar adalah juga pemandu teksi. Ada antara mereka menggunakan kedua-duanya, Grab dan MyCar untuk mendapatkan penumpang.

Sejak 12 Oktober lalu, ekoran peraturan baharu dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bilangan pemandu Grab dan MyCar berkurangan dan ia membawa kepada kenaikan tambang.

Melalui Gombak Line dari stesen Gombak, penumpang memasuki sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur apabila sampai di stesyen Taman Melati. Ini diikuti dengan Wangsa Maju, Seri Rampai, Setiawangsa, Jelatek, Datok Keramat, Damai, Ampang Park, KLCC, Kampung Baru, Dang Wangi, Masjid Jamek, Pasar Seni, KL Sentral, Bangsar, Abdullah Hukum, dan akhirnya Universiti sebelum ia keluar ke wilayah negeri Selangor.

Untuk ke Bukit Damansara, penulis perlu turun sama ada di Pasar Seni atau KL Sentral. Tetapi pada hari itu penulis turun di KL Sentral.

Stesen ini merupakan tempat pertemuan laluan LRT, MRT, Monorel, ERL, Skypark Link dan KTM. Untuk pergi ke stesen MRT dari stesen LRT, seseorang perlu melalui lobi tempat berlepas ERL ke KLIA. Penulis berasakan maklumat papan tanda di kawasan itu tidak mencukupi.

Seseorang perlu naik eskalator yang tinggi sebelum berjalan jauh melalui terowong untuk sampai stesen MRT Muzium Negara. Walaupun eskalator itu efisien tetapi antara lantai bawah hingga tapak eskalator terdapat beberapa anak tangga yang dirasakan tidak mesra pengguna.

Ini kerana penulis melihat sepasang warga emas asing, yang berkemungkinannya pelancong terkial-kial membawa beg yang banyak dan berat untuk melangkaui anak-anak tangga itu sebelum sampai ke eskalator itu.

Adalah dapat dibayangkan bahawa kedua-duanya baru sampai dari London dengan kapal terbang yang mendarat di KLIA. Dengan susah payah mereka kemudian menaiki ERL. Tetapi untuk ke platform ERL terdapat lif. Dari ERL mereka sampai di KL Sentral. Tanpa troli mereka perlu pergi ke stesen MRT Muzium Negara, mungkin untuk pergi ke hotel mereka di Bukit Bintang.

Destinasi penulis pada malam itu adalah stesen MRT Semantan yang merupakan satu saja stesen dari stesen Muzium Negara. Keretapi MRT laju dan selesa. Sekejap saja sampai di stesen itu. Perkara itu tidak bermasalah. Apa yang menjadi cabaran adalah selepas itu.

Apabila keluar dari stesen, hujan renyai renyai turun. Suasana gelap tetapi ada lampu yang bernyala apabila berjalan di bawahnya. Penulis merujuk kempali aplikasi untuk melihat peta. Ia menunjukkan destinasi itu tidak jauh. Nombor 2, Jalan Dungun Kiri. Dari pintu stesen itu kelihatan Starbucks, pejabat MRT dan Bank Islam.

Penulis sampai ke satu jalan tetapi ia tidak ada papan tanda nama jalan. Mungkinkah penulis tidak dapat melihatnya? Di sebelahnya terletak Universiti Help.

Oleh kerana tidak bernama, penulis berjalan ke depan. Di situ terdapat nama Jalam Gelenggang. Apabila melihat peta aplikasi itu, ternyata penulis terlepas Jalan Dungun Kiri. Maka penulis pun patah balik. Keadaannya adalah gelap dalam hujan renyai dan suasana sunyi.

Papan tanda jalan perlu ada dan jelas di seluruh Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Rupanya destinasi penulis itu terletak dalam bangunan tinggi yang ada namanya. Sedangkan alamat yang diberikan dan juga terkandung dalam peta aplikasi sedikit pun tidak menyebut nama bangunan tinggi itu.

Di Lembah Klang ini, maklumat baik berupa papan tanda atau dalam talian banyak yang tidak tepat dan kurang memuaskan. Sementara itu, dalam aplikasi pula, ada antaranya tidak dikemas kini. Ia kelihatan kecil tetapi ternyata merupakan aspek kurang efisien bagi warga kota.

Bagi memperbaiki perkara-perkara terperinci ini, pengguna perlu memberikan maklum balas. Tetapi maklum balas itu pula wajar sampai pada sasaran dan diambil tindakan segera. Jika tidak, kehidupan di kota akan kekal kurang selesa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas