Berita

Agong zahir takziah kepada keluarga Lim Kok Wing

YANG di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tan Sri Lim Kok Wing atas pemergian pengasas dan presiden Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing, semalam. Kredit Foto oleh - Malaysiapost
- Diterbit 2 Jun 2021 3:19 AM MYT

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tan Sri Lim Kok Wing atas pemergian pengasas dan presiden Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing itu.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara malam tadi, Seri Paduka turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan berharap agar seluruh keluarganya bersabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

“Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti serta jasa mendiang kepada masyarakat dan dunia pendidikan inovatif negara,” demikian menurut kenyataan itu.

Semalam, Lim meninggal dunia pada usia 75 tahun dan berita mengenai kematian itu dimaklumkan Limkokwing University melalui satu kenyataan.

Sebelum ini, tokoh itu dilaporkan dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan selepas terjatuh di kediamannya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas