Berita

Agong berkenan berangkat rasmi HLN 2024 Mei ini

KREDIT foto: Facebook Nga Kor Ming.
- Diterbit 27 Mac 2024 6:45 PM MYT

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk berangkat merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2024 di Taman Tasik Shah Alam, Selangor pada 25 Mei.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkenan itu telah Sultan Ibrahim titahkan sendiri kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Nga di Istana Negara di sini hari ini.

Nga dalam kenyataan sama berkata ini merupakan kali pertama dalam sejarah Yang di-Pertuan Agong berangkat mencemar duli untuk merasmikan Hari Landskap Negara.

“Ia mencerminkan iltizam Baginda terhadap pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Menurut kenyataan KPKT, HLN 2024 yang akan berlangsung selama sepuluh hari itu dijangka akan menarik kehadiran 50,000 pengunjung.

KPKT memaklumkan Nga dalam sesi menghadap itu, turut mempersembahkan Kad Laporan KPKT bagi tahun 2023 kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Nga turut mempersembahkan sepasang karya seni Tahun Naga hasil kaligrafi dan lukisan beliau bersama pelukis antarabangsa Anton Moner, kepada Seri Paduka Baginda. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas