Berita

Kagumi Siti Nurhaliza… ‘Nak berjaya kena ada pengurusan bagus’ – CEO Yayasan Prihatin National

AIZUDDIN Ghazali bersama Siti Nurhaliza ketika ditemubual pihak media.
- Diterbit 27 Mac 2024 6:30 PM MYT

KETUA Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, mengaku sangat mengagumi  dengan semangat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang  menyantuni golongan tidak bernasib baik di bulan Ramadan ini.

Dalam masa yang sama, Aizuddin  menyokong usaha Siti yang mahu membalas jasa pihak media yang menjadi tulang belakang sepanjang bergelar anak seni.

“Saya hormat Siti Nurhaliza dan suami DK yang sangat senang untuk berurusan dan kami di Yayasan Prihatin Nasional berbangga dapat bekerjasama dalam program amal seperti ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Iftar & Penyampaian Sumbangan Nurjiwa Perihatin di Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Dalam pada itu, Aizuddin juga  menafikan dakwaan kononnya pihaknya menganiaya seorang artis tempatan dan tidak telus dalam sebuah penganjuran konsert tahun lalu.

AIZUDDIN Ghazali bersama Siti Nurhaliza ketika ditemubual pihak media.

Kongsinya, satu pertemuan antara kedua-dua pihak telah diadakan bagi menyelesaikan isu yang berbangkit termasuk menerangkan hal sebenar.

“Saya sudah pun panggil pihak tersebut dan berjumpa. Pertemuan tersebut dihadiri oleh pihak saya dan pengurusan artis berkenaan.

“Artis tersebut juga membawa peguam untuk mendapatkan gambaran jelas berhubung isu yang dibangkitkan,” jelasnya.

Beliau berkata, artis tersebut sebenarnya telah dianiaya oleh orang terdekat iaitu pihak pengurusannya sendiri.

“Namun, selepas kami memberikan gambaran sebenar, barulah artis itu tahu yang dia telah dianiaya oleh satu pihak lagi.

“Mereka akui telah berlaku salah faham. Namun, saya tidak menganggap ini sebagai satu isu. Lagipun, ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan artis,” ulasnya lagi.

Katanya lagi, masalah seperti ini juga yang membuatkan dirinya berasa agak susah untuk bekerjasama dengan artis tempatan.

“Masalah ini berlaku kerana kita menggunakan platform pihak ketiga iaitu pengurusan artis.

“Mungkin sebab ini juga ramai yang mempersoalkan mengapa saya sering bekerjasama dengan artis luar.

“Saya bukan tak mahu bekerjasama dengan artis tempatan cuma ada segelintir artis yang mempunyai pengurusan yang tidak betul,” katanya.

Mengulas lanjut, Aizuddin memaklumkan isu ini telah pun selesai dan hubungannya bersama artis itu masih baik.

“Pada saya, untuk menjadi artis yang berjaya, mereka kena ada pihak pengurusan yang kuat. Saya kesiankan artis itu dan saya tak salahkan dia.

“Bila saya bercerita elok-elok, dia pun faham. Dia ada bakat dan vokalnya bagus tapi bila diberikan sepenuh kepercayaan, pihak pengurusan ambil kesempatan pula,” katanya. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas