Berita

Agenda perumahan, pembangunan anak muda fokus utama Azmi

ANNUAR (kanan) menyerahkan watikah pelantikan Presiden
- Diterbit 9 Oktober 2020 5:34 AM MYT

PEMBINAAN rumah mampu milik dan pembangunan anak muda menjadi fokus Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zin untuk tempoh perkhidmatannya.

Beliau berkata, perumahan mampu milik akan dilakukan bagi menyahut aspirasi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa yang mahu membina lebih banyak perumahan berharga bawah RM200 ribu ringgit di seluruh kawasan Wilayah
Persekutuan termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kita telah sedia maklum bahawa penekanan telah diberikan untuk memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik yang berharga di bawah RM200 ribu.

“Kita akan memperbanyakkan pembinaan perumahan tersebut termasuk di Putrajaya Sentral berhampiran Presint 7,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Taklimat
Presiden PPj pada Selasa.

Kata Muhammad Azmi, untuk perancangan jangka panjang dalam pembangunan anak  muda, pihaknya akan melibatkan golongan itu melalui Program Urban Farming.

“Sebelum ini program tersebut hanya memberi peluang kepada komuniti untuk terlibat dalam aktiviti pertanian, dan untuk perancangan masa depan, kita akan memberikan fokus kepada program tersebut dan akan dilaksanakan secara komersial.

“Ia termasuk sayuran dan pokok-pokok landskap dan salah satu fokus kita adalah untuk menjadikan Putrajaya sebagai pembekal anak-anak pokok landskap seperti di Sungai
Buloh,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Azmi berkata beliau akan memberikan penekanan dalam penyampaian perkhidmatan iaitu memberikan fokus kepada bagaimana untuk mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan.

“Kita akan mencari jalan dan kaedah terbaik untuk melaksanakan semua perkara bagi mencapai matlamat dan juga dapat memberi manfaat yang segera kepada penduduk
dan pengunjung di Putrajaya,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas