Selebriti

Bapa jadi rujukan Mia Sara

- Diterbit 4 April 2024 3:31 PM MYT

PELAKON Mia Sara Shauki, 25, mengaku menyimpan impian untuk berjaya seperti ayahnya, Datuk Afdlin Shauki.

Bagi Mia atau nama sebenarnya Mia Sara, walaupun dia dan ayahnya dari zaman yang berbeza, namun itu tidak menghalang untuk dirinya berjaya dalam bidang seni.

“Saya memang ada cita-cita nak berjaya macam ayah saya. Walaupun cara atau perjalanan saya dalam industri berbeza dengan ayah, tapi saya mahu jadi sepertinya.

“Cara berbeza yang saya maksudkan, dulu tak ada Internet dan media sosial, jadi beliau bekerja keras untuk jadi Afdlin Shauki. Sekarang saya berada dalam zaman teknologi baharu. Cara untuk membina network sudah tentu berbeza dengan dulu. Jadi secara tak langsung, cara kami menapak dan membina kerjaya lakonan juga berbeza.

“Mungkin saya tak boleh 100 peratus nak berjaya macam ayah. Zaman pun sudah berbeza. Namun dia banyak bagi nasihat dan sangat membantu kerjaya lakonan saya,” ujarnya tidak kisah apabila bakatnya dibanding-bandingkan dengan bapanya.

Tambahnya bukan mudah mendapat ‘restu’ Afdlin untuk menjadi pelakon malah setelah dua tahun baharulah bapanya memberi kebenaran untuknya serius dalam bidang lakonan.

“Dulu sebelum saya mula berlakon, ayah kurang setuju dan ada beri nasihat kerana dia tahu baik buruk dalam industri antaranya sebagai pelakon bukan mudah untuk hidup selesa dan kena bekerja kuat.

“Selain itu, nasihat yang saya pegang adalah jangan ambil hati dengan lakonan sendiri. Maksudnya jangan selalu fikir apa yang orang fikir pasal kita. Lagi pun kita berlakon dengan membawa watak orang lain dan bukannya diri sendiri.

“Apapun saya buktikan padanya boleh lakukan. Jadi, selepas dua tahun dalam industri baru dia reda dan terima jalan yang saya pilih,” ujarnya yang menjadikan bapanya sebagai rujukan utama.

Membawa watak sebagai Melati dalam filem Geng Kubur yang bakal ditayangkan pada 25 April ini, Mia mengakui seronok sepanjang terlibat dalam penggambaran filem tersebut.

“Melati merupakan satu-satunya perempuan dalam sekumpulan remaja yang sangat obses terhadap karakter hantu. Dia dan rakan-rakannya suka melepak di kubur dan bercerita kisah hantu,” ujarnya tidak sabar menantikan reaksi peminat terhadap filem tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas