ADUN Chini meninggal dunia
ALLAHYARHAM Datuk Seri Abu Bakar Harun Gambar Media Pahang

ADUN Chini meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Pahang, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi ini.

Beliau menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3 pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan pemergian Allahyarham menerusi muat naik status di Facebook rasmi beliau pagi ini.

“Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” ucap beliau sambil menyampaikan salam takziah kepada pihak keluarga Allahyarham semoga tabah menghadapi ujian ini.

Abu Bakar pernah dilantik sebagai Exco Hal Ehwal Peneroka dalam pentadbiran kerajaan Pahang antara tahun 2013 hingga 2018.

Abu Bakar menjadi ADUN Chini yang berada dalam kawasan Parlimen Pekan selama tiga penggal sejak PRU-11.

Pada PRU-14, Allahyarham menang dengan majoriti 4,622 apabila mendapat 10,027 undi sekali gus menewaskan calon Pas, Mohd. Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithanin (1,065) yang turut hilang wang deposit. – WILAYAHKU

CATEGORIES