Berita

Gelandangan mula hidup baharu, hadiri temuduga kerja

GOLONGAN gelandangan menghadiri proses taklimat dan temuduga kerja.
- Diterbit 6 Mei 2020 12:53 PM MYT

KUALA LUMPUR – Gelandangan yang diselamatkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal memulakan langkah hidup baharu apabila menghadiri taklimat dan temuduga kerja bagi membolehkan mereka berkerja selepas ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, beliau melahirkan kesyukuran kerana golongan itu menyahut seruan untuk memulakan kehidupan baru.

“Saya amat bersyukur mereka sahut seruan saya untuk memulakan hidup lebih baharu. Semoga dengan berkat Ramadan kita semua beroleh keampunan dan keredhaan Allah S.W.T,”  katanya.

Sebelum ini Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKNWP) dipetik sebagai berkata, pihaknya telah menggerakkan sebuah jawatankuasa khas gelandangan dianggotai agensi-agensi kerajaan seperti Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Tenaga Kerja, Agensi Antidadah Kebangsaan serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha memberikan pekerjaan kepada golongan itu.

Sementara menunggu untuk mula bekerja, mereka akan dipindahkan ke dua asrama yang disediakan DBKL dan syarikat yang akan menggajikan mereka.

Mereka akan ditawarkan gaji sebanyak RM1,400 sebagai permulaan berserta elaun untuk jawatan operator pengeluaran kilang dan sebagai pekerja am DBKL dengan gaji harian yang membolehkan mereka mendapat kira-kira RM1,200 sebulan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas