Artikel

Adakah Akta Keselamatan Media Sosial perlu?

- Diterbit 18 Februari 2024 9:00 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

MEDIA sosial telah menjadi medan utama rakyat di seluruh dunia berkomunikasi. Semua debat, wacana dan sebagainya berlaku menerusi media sosial 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.

Pelbagai pihak menggunakan media sosial untuk menjalankan aktiviti mereka. Ahli perniagaan, penggiat sosial, aktivis politik, agama dan sebagainya menjadi media sosial sebagai medan untuk mereka mendapatkan keuntungan.

Tetapi perasan atau tidak, kita tidak mempunyai peraturan yang jelas tentang aktiviti di media sosial terutama soal keselamatannya.

Kalau di jalan raya ada peraturan keselamatannya, tetapi di media sosial, kelihatan tidak ada peraturan atau undang-undang yang jelas tentang tatacara penggunaannya.

Kalau mana-mana pihak yang melanggar peraturan di jalan raya, pihak keselamatan khasnya polis terus boleh mengambil tindakan ke atas pesalah itu.

Pesalah boleh dikejar oleh polis dan tangkapan boleh dibuat hatta mereka boleh digari dan dibawa ke balai polis untuk dibuat soal siasat.

Apakah kesalahan utama di media sosial? Ramai yang melihat ia berupa kesalahan memfitnah, mencela, mengugut dan sebagainya.

Tetapi dari segi statistiknya, kesalahan utama di media sosial adalah perbuatan menipu (scam), perjudian, pelacuran dan seumpamanya.

Menurut sumber, lebih 70 hingga 80 peratus kesalahan yang berlaku di media sosial adalah tergolong dalam kategori ini iaitu scam, perjudian dan juga pelacuran.

Kalau di alam biasa, sesetengah kesalahan ini boleh dikategorikan sebagai jenayah dan boleh ditangkap atau dikejar oleh pihak berkuasa serta-merta.

Namun sedar atau tidak, kesalahan di media sosial tidak boleh dibuat ‘tangkapan’ begitu. Mereka perlu dipanggil, disiasat dan jika didapati ada kesalahan baru didakwa. Itu dilakukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ekoran itu, kerajaan sedang mengkaji dan memperkemaskan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk memastikan skop dan penggunaannya tidak memberi ruang untuk disalahgunakan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching berkata, skop itu termasuk penambahbaikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan pengenalan peruntukan kepada keperluan penyimpanan, pemeliharaan dan penzahiran data trafik.

“Kerajaan ada usaha untuk mengkaji Seksyen 233, yang tertumpu kepada aspek memastikan siasatan dijalankan lebih lancar selain penambahbaikan kepada SKMM dengan pengenalan peruntukan kepada keperluan penyimpanan, pemeliharaan dan penzahiran data trafik,” katanya di Dewan Rakyat sebelum ini.

Beliau berkata demikian kepada soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang menyifatkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai bermasalah dan sering digunakan untuk tujuan politik.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Syahredzan berhubung statistik bilangan individu yang disiasat mengikut seksyen berkenaan, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata SKKM menerima 2,855 aduan dari 2009 sehingga 28 Februari lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, 58 peratus adalah aduan melibatkan kandungan lucah.

“Sebanyak 574 aduan (20 peratus) pula adalah melibatkan kandungan palsu, 546 aduan (19 peratus) adalah kandungan jelik dan baki 74 aduan (3 peratus) adalah melibatkan kandungan mengancam dan sumbang,” jelasnya.

Sementara itu, daripada jumlah itu, 108 kes, katanya, masih dalam siasatan dan 115 kes selesai didakwa di mahkamah.

“Sebanyak 40 kes lagi dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan yang berjumlah RM138,250 selain 84 kes dikeluarkan notis amaran dan 2,478 kes berstatus tiada tindakan lanjut (NFA).

“Kes-kes yang diklasifikasikan sebagai NFA adalah disebabkan tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan suspek dengan, kesalahan yang disiasat di bawah seksyen 233 Akta 588,” kata Nie Ching.

Bagaimana pula dengan isu keselamatan yang berlaku di media sosial. Boleh atau tidak pelakunya dikejar atau ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap polis? Polis pula adakah polis yang biasa itu atau ada polis khas di media sosial.

Bagaimana jika seseorang diugut, ‘dibunuh’ secara maya melalui pembunuhan karakter? Adakah orang itu boleh dikejar dan ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap polis?

Bagaimana pula mereka yang melakukan penipuan (scam), menguruskan operasi pelacuran melalui media sosial dan juga menguruskan perjudian melalui media sosial. Adakah kita mempunyai undang-undang atau peraturan yang jelas tentang keselamatan di media sosial ini.

Nampaknya kerajaan perlu memikirkan tentang perkara ini iaitu Akta Keselamatan Media Sosial.

Penulis adalah salah seorang aktivis di media sosial.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas