Artikel

Faktor kenapa PAS sukar kembali ke Putrajaya

- Diterbit 9 Februari 2024 3:56 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

BARU-BARU ini keluarga saya dari Terengganu menziarahi saya dan isteri di Selangor. Sebagai penduduk Terengganu, keluarga saya itu dilingkungi oleh suasana politik yang menyokong PAS.

Oleh itu, corak pemikiran dan pandangan mereka sudah tentu dipengaruhi oleh persekitaran mereka di mana PAS berjaya menyapu bersih kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dalam pilihan raya lalu di negeri itu.

Selepas berbasa-basi, kami mula menyinggung hal politik.

“Ada tak kemungkinan UMNO akan bekerjasama dengan PAS dalam masa terdekat. Sebab saya rasa, dengan cara itu saja, PAS kemungkinan akan kembali berkuasa di peringkat pusat,” tanya salah seorang keluarga saya dari Terengganu itu.

Bagi saya, ia agak sukar. Saya mengemukakan sekurang-kurangnya empat sebab kenapa PAS sukar bekerjasama dengan UMNO atau kembali untuk berkuasa semula di peringkat pusat dalam masa terdekat.

Pertama, UMNO sukar untuk bekerjasama dengan PAS sekarang kerana kedua-dua parti ini menyasarkan pengundi daripada kelompok yang sama, iaitu Melayu, Islam dan luar bandar.

Apabila ini berlaku, UMNO dan PAS akan terpaksa berebut kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya nanti.

Berbeza dengan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). UMNO tidak akan menyasarkan kumpulan pengundi yang sama kecuali pergeseran agak tajam akan berlaku dengan AMANAH yang mempunyai sasaran pengundi yang hampir sama dengan UMNO.

Jadi, kata saya, UMNO akan lebih selesa bekerjasama dengan PH berbanding dengan PAS. Cuma isu yang perlu diselesaikan adalah adanya DAP di dalam PH yang selama ini menjadi sasaran serangan UMNO sebagai orang jahat di Malaysia.

Tetapi dalam pembahagian kerusi, UMNO tidak akan ada masalah besar dengan PH apatah lagi DAP.

Faktor kedua yang menyukarkan PAS untuk kembali berkuasa di Pusat adalah politik Sabah dan Sarawak. Imej PAS sangat tidak baik pada pandangan orang Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, amat sukar untuk mereka bekerjama jika PAS menjadi faktor besar dalam sesuatu kumpulan yang mereka perlu sertai itu. Mereka sesekali tidak boleh menerima akan berada dengan PAS dalam menentukan dasar-dasar negara. Atas dasar itu, sukar Sabah dan Sarawak bekerjasama atau berkongsi kuasa dengan PAS.

Faktor ketiga adalah Yang di-Pertuan Agong iaitu baginda Sultan Johor yang baru saja ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

Ramai tahu bahawa Agong ini amat rapat hubungannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia bermula sejak Anwar dibebaskan dari penjara pada tahun 2018 lagi.

Sebaik sahaja dibebaskan, Sultan Johor telah menjadi Raja-raja Melayu yang pertama dikunjungi Anwar. Beliau telah mengunjungi baginda Sultan Johor di Johor Bahru. Sejak itu hubungan baginda dengan Anwar dilihat amat rapat.

Dalam masa yang sama, dalam beberapa titah ucapan baginda di Johor, jelas kelihatan baginda sangat tidak senang dengan PAS.

Faktor keempat adalah Presiden UMNO yang ada, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hampir semua orang tahu, hubungan antara Zahid dengan Anwar amat rapat. Ia bermula sejak Anwar di dalam UMNO lagi.

Sebelum Anwar dipecat dari UMNO oleh Mahathir, Zahid antara pemimpin UMNO yang awal membangkit isu korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) yang terkenal di Indonesia ketika itu dan menjadi istilah yang selalu digunakan Anwar ketika itu.

Zahid membangkitkan perkara ini dalam pilihan raya kecil (PRK) Arau 1998 dan yang menariknya PAS berjaya menang dalam pilihan raya kecil itu apabila UMNO mula berpecah.

Yang menarik juga, ada yang membuat main Zahid dengan Anwar umpama murid dengan guru.

Apabila hubungan Anwar sebagai Pengerusi PH dengan Zahid Pengerusi BN amat rapat, sukar untuk memecahkan hubungan kedua-dua gabungan itu di dalam Kerajaan Madani sekarang.

Dengan keempat-empat faktor tersebut, kata saya, amat sukar untuk PAS bekerjasama semula dengan UMNO sebagaimana yang berlaku dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini jika hasratnya adalah untuk kembali berkuasa semula.

“Kalau begitu, takda jalan lah PAS nak kembali ke Putrajaya,” tanya keluarga saya itu, lantas saya menjawabnya, “Ada.”

PAS sepatutnya menyertai Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebaik sahaja selepas PRU 15 lalu. Bagi saya, peluang ini masih terbuka. Saya difahamkan, hasrat ini pernah disampaikan kepada PAS, namun Presiden PAS yang ada menolaknya walaupun hulubalang di keliling beliau sedia membincangkannya.

“Ketika itu, Presiden Pas ditawarkan sebagai Timbalan Perdana Menteri,” kata saya kepada keluarga saya dari Terengganu itu.

“Jadi ia boleh berlaku kalau Presiden PAS yang ada sudah tidak ada lagi?” tanya keluarga saya itu.

Saya kata, “Ye”. Saya juga yakin, kalau Timbalan Presiden PAS yang ada sekarang jadi Presiden, ia boleh berlaku.

Dialog kami berakhir di situ.

Penulis adalah bekas wartawan Harakah, lidah rasmi PAS

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas