Abdul Qaiyum hadiahkan emas buat Perak selepas lapan tahun

Abdul Qaiyum hadiahkan emas buat Perak selepas lapan tahun

PETINJU Perak Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin akhirnya berjaya menghadiahkan pingat emas buat negerinya menerusi Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, setelah lapan tahun berkecimpung dalam sukan itu.

Beliau muncul juara kategori Light Fly 46-48 kilogram (kg) lelaki selepas menewaskan petinju Pulau Pinang, R. Pavithran dengan keputusan 5-0 pada perlawanan berlangsung di Kompleks Futsal Precint 18 itu.

“Saya telah bermain untuk Perak berapa lama dah dan negeri itu telah banyak membantu saya dari dahulu hingga kini, jadi saya berbangga kerana akhirnya dapat hadiahkan pingat emas buat mereka.

“Ini merupakan titik permulaan saya untuk terus berkembang dalam sukan tinju selepas ini,” kata petinju kebangsaan itu.

Sukma tahun ini merupakan kali pertama dan juga terakhir buat beliau yang berusia 21 tahun. (Had umur penyertaan Sukma adalah 21 tahun ke bawah).

Selain itu, beliau turut mengakui pengalaman sebagai petinju kebangsaan memberi kelebihan kepadanya.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Pavithran meraih perak bagi kategori itu manakala gangsa dikongsi Muhammad Denial Norsukeri yang mewakili Johor dan Steve Yosores dari Sabah.

Sementara itu, dalam kategori Bantam 51-54kg lelaki menyaksikan petinju Sabah Joel Evekly Jain muncul juara selepas menewaskan petinju Johor Sharol Nizam Norsukeri dengan keputusan 3-2.

Sharol Nizam terpaksa berpuas hati dengan perak manakala gangsa dikongsi atlet Terengganu Harith Haykal Rasaidi dan atlet Perak Mohamad Fareezad Mohamad Tamisi. – BERNAMA

Share This