Berita

Rakyat bantu tingkat nilai ringgit

PENIAGA tempatan menyokong permintaan ringgit negara. - Gambar hiasan
- Diterbit 8 Disember 2023 12:40 AM MYT

RAKYAT Malaysia dilihat berpuas hati dengan perkembangan ekonomi negara walaupun nilai ringgit susut.

Rata-rata orang ramai khususnya warga kota menyatakan mereka sedia membantu meningkatkan kembali ekonomi negara.

Pekerja swasta, Nurnafiz Atiqah Nordin berkata pertumbuhan ekonomi amat memberangsangkan ditambah lagi dengan kehadiran pelabur-pelabur asing di negara.

NURNAFIZ

“Kita dapat lihat, banyak syarikat-syarikat gergasi antarabangsa yang datang melabur di negara, ia menunjukkan bahawa mereka yakin dengan kemampuan ekonomi Malaysia.

“Ditambah pula ekonomi global yang menghadapi masalah inflasi namun, saya percaya dengan pengukuhan ekonomi mampu membantu meningkatkan nilai mata wang negara,” katanya kepada Wilayahku.

Menurutnya, sokongan rakyat terhadap peniaga-peniaga tempatan juga sedikit sebanyak dapat menyokong permintaan ringgit di negara.

Sementara itu, Muhammad Akram Zulkarnain yang bekerja sendiri berpendapat, dia percaya Malaysia rancak mengorak langkah ke hadapan dengan momentum perkembangan ekonomi kini.

AKRAM

Katanya, negara-negara lain juga mengalami nasib sama dengan kejatuhan nilai mata wang.

“Ia sedikit sukar bagi mereka yang berniaga dengan memerlukan urusan jual beli menggunakan mata wang antarabangsa.

“Walau bagaimanapun, ini adalah masa terbaik buat semua pihak membantu meningkatkan ekonomi negara, mengukuhkan nilai ringgit dengan lebih banyak berbelanja dalam negara juga,” ujarnya.

Jelasnya, dengan sektor pelancongan negara yang kian membangun juga mampu merangsang aktiviti ekonomi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas