Berita

Wilayah Impian diangkat jadi juara

SHAHRIL (dua dari kiri) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Mencipta Lagu Kuala Lumpur
- Diterbit 8 Disember 2023 1:10 AM MYT

LAGU Wilayah Impian karya Shahril Yaacob muncul juara Pertandingan Mencipta Lagu Kuala Lumpur bagi sesi 2023 anjuran Unit Muzik dan Kebudayaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Sabtu.

Kejayaan tersebut menewaskan sembilan komposer dan penulis lirik yang bertanding sekali gus membolehkannya membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta sebuah trofi dan sijil penghargaan.

Berkongsi perasaan muncul juara, Shahril berkata dia tidak menyangka dengan kemenangan tersebut kerana tidak meletakkan apa-apa harapan sebaliknya bersyukur dan gembira di atas rezeki yang diterima.

“Alhamdulillah. Saya masih terkejut sebenarnya dengan kemenangan ini. Jika sebelum ini, saya ada masuk beberapa pertandingan lain tapi niat saya hanya untuk meperbaiki kualiti dan mutu lagu.

“Jadi kalau kalah ke, takpe kita belajar lagi. Walaupun menang, saya banyak belajar dengan lagu lain tetapi sejujurnya saya rasa persembahan saya sama rata daripada pelbagai segi. Lagu-lagu lain pun catchy, saya dengar jadi saya boleh belajar dan jadikan inspirasi untuk buat lagu seterusnya yang lebih unik,” katanya ketika ditemui pada Konsert Akhir Pertandingan Mencipta Lagu Kuala Lumpur di MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Berkongsi lanjut penceritaan lagunya itu, Shahril berkata lagu tersebut mengisahkan gambaran masyarakat yang sedang berjuang mencari jalan ke menara impian tetapi terhalang atas beberapa faktor selain menceritakan tentang keadaan masa kini di Kuala Lumpur.

“Pertandingan mencipta lagu ini memberi peluang kepada komposer dan penulis lirik baharu untuk mengembangkan bakat dalam industri muzik dan dalam masa yang sama, terima kasih DBKL dan para juri di atas penganugerahan yang diberikan ini,” ujarnya kepada Wilayahku.

Sementara itu, naib johan yang dirangkul oleh gandingan penulis lirik, Idris Zulkifli dan komposer, Amirul Nizam Abd Aziz mengakui saingan peserta semuanya hebat namun bersyukur lagu mereka berjudul Kuala Lumpur meraih tempat kedua.

Menurut Idris, lagu tersebut menceritakan tentang keindahan dan keadaan semasa Kuala Lumpur di mana mereka mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan lagu tersebut.

“Lagi dua minggu hendak tutup tarikh, kami siapkan lagu ini dan setelah siap, barulah kami pilih penyanyi yang boleh membawakan lagu tersebut. Pada awalnya, saya cadangkan pada komposer lagu ini dinyanyikan secara solo sahaja tetapi dia berpandangan lebih sesuai sekiranya ia dinyanyikan secara duet.

“Masa uji bakat untuk menentukan penyanyi, kami cuba pada penyanyi perempuan tetapi ada sedikit perubahan sebab nak sesuaikan dengan key dan tone suaranya,” katanya yang merupakan graduan Aswara.

Pada malam itu, gandingan duo ini membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi dan sijil penyertaan. Lebih indah, mereka juga turut memenangi kategori persembahan terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 beserta trofi dan sijil penyertaan.

Terdahulu, Konsert Akhir Pertandingan Mencipta Lagu Kuala Lumpur merupakan penganjuran kali ke-2 oleh Unit Muzik, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL selepas kali terakhir diadakan sekitar tahun 2015.

Sebanyak 82 penyertaan telah diterima sejak dibuka pada bulan Oktober lalu namun hanya 10 peserta sahaja yang berjaya mara ke peringkat akhir.

Objektif penganjuran adalah untuk mencungkil bakat baharu, menambah koleksi lagu bertemakan bandar raya Kuala Lumpur dan menyediakan platform bagi rakyat Malaysia berkarya. Lagu-lagu yang terpilih ini akan dipromosikan melalui pelbagai saluran program yang dianjurkan oleh DBKL termasuk diperdengarkan kepada umum melalui platform media sosial. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas