Berita

Kementerian perlu cadang SOP bagi sektor belum dibenar beroperasi

MENURUT Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sidang khas Dewan Rakyat pada 20 Januari ini penting untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan tindakan dan perancangannya bagi menangani banjir. KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini.?Beliau berkata kerajaan membenarkan aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah untuk pelajar sekolah mulai 1 Sept ini mengikut Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.?-- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
- Diterbit 11 Februari 2021 11:23 AM MYT

KEMENTERIAN berkaitan perlu mencadangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi sektor yang belum dibuka untuk dipertimbangkan dan dibenarkan beroperasi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata cadangan SOP berkenaan akan dirujuk ke Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dibawa ke Mesyuarat Khas MKN sebelum dibenarkan beroperasi.

“Sidang Khas MKN kali ini melibatkan sebahagian jemaah menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri  dalam Jawatankuasa Sidang Khas MKN yang dipengerusi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Setiap keputusan yang kita buat adalah berdasarkan kepada sidang khas tersebut, mana-mana (sektor atau industri) yang belum dibenarkan kita akan bincangkan semua cadangan,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Beliau berkata arahan kepada setiap kementerian untuk mengemukakan SOP bagi sektor industri yang belum dibuka itu diputuskan dalam Sidang Khas MKN semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada mereka yang menyambutnya dan mengingatkan semua agar terus mematuhi SOP.

“Seperti waktu musim perayaan sebelum ini, pihak polis akan mengawal ketat pematuhan SOP termasuk di kawasan kejiranan dan perumahan, jadi patuhi SOP agar tiada siapa dikenakan tindakan.

“Mematuhi SOP bukan hanya untuk mengelakkan daripada disaman tetapi adalah untuk kepentingan diri sendiri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 575 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan SOP oleh Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan.

Katanya, daripada jumlah itu, 532 telah dikompaun, 39 individu direman manakala empat dijamin dan antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan, tiada penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas