PUTRAJAYA – Pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi sehingga 28 April yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi ruang untuk memerangi penularan Covid- 19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, arahan itu sekali gus memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan dalam menilai semula tahap keberkesanan serta keadaan semasa jangkitan Covid-19.
“Berdasarkan situasi terkini Covid-19, kita mendapati pelaksanaan PKP telah dapat membantu kementerian dalam membendung penularan penyakit ini kepada satu tahap yang sedikit stabil.
“Ini dapat diperhatikan daripada trend kes Covid-19 dan trajektori yang diunjurkan melalui kajian yang telah dijalankan oleh KKM. Bagaimanapun, ia masih di peringkat pertengahan dan masih memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan.
“Malah, ia perlu dipesatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan melalui peningkatan aktiviti sedia ada serta beberapa pendekatan baharu dan khusus kepada kumpulan sasar tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – WILAYAHKU