Berita

222 kes positif Covid-19 berjaya pulih, kematian catat kes ke-70

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 10 April 2020 10:55 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 222 kes positif Covid-19 berjaya pulih dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini melebihi 118 kes baharu dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhan jumlah kes yang telah pulih mencecah 1,830 kes iaitu 42.11 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Bagaimanapun, terdapat 118 kes baharu yang dilaporkan dan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 4,346 kes.

“Setakat ini, seramai 69 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 40 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat penambahan tiga kematian berkaitan Covid-19 dan menjadikan jumlah kematian 70 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, kes kematian ke-68 membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Kes kematian ke-69 pula merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Bagi kes kematian ke-70 pula merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 88 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan dementia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas