Berita

Boleh gunting rambut, dobi dan betul lampu dapur

KEDAI gunting rambut antara 10 sektor yang dibenarkan beroperasi.
- Diterbit 10 April 2020 12:10 PM MYT

PUTRAJAYA – Perkhidmatan gunting rambut serta dobi (bukan layan diri) antara syarikat yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April nanti.

Selain itu, industri lain yang terlibat adalah automotif (terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan seperti penyelenggaraan); mesin dan peralatan; aeroangkasa serta projek-projek pembinaan termasuk perkhidmatan berkaitan pembinaan.

Beberapa perkhidmatan lain juga dibenarkan seperti perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D); kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar (hanya terhad kepada registered Traditional and Complementary Medicine) serta perkhidmatan kedai hardware, barangan elektrik dan elektronik serta kedai cermin mata dalam pemborongan dan peruncitan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu diputuskan hasil kaji selidik yang mendapati penularan Covid-19 bukan sahaja memberi kesan besar ke atas kesihatan tetapi turut memudaratkan prestasi kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat khususnya industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“MITI telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan industri, PKS serta kementerian dan agensi lain yang berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengenalpasti serta memperhalusi sektor-sektor ekonomi tambahan yang boleh dibenarkan beroperasi.

“Langkah ini adalah selaras dengan keputusan jemaah menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak Covid-19 ke atas ekonomi dan pasaran buruh. Jawatankuasa Khas Kabinet adalah MITI, Kementerian Kewangan, Khazanah Nasional Berhad dan Bank Negara yang telah membentangkan beberapa cadangan pada 6 dan 8 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azmin, keputusan itu juga bersandarkan beberapa faktor iaitu tahap kepentingannya di dalam rantaian bekalan global dan eksport negara yang mana langkah tersebut untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport.

Selain itu, jelas beliau, sektor yang mempunyai gandaan nilai tambah yang tinggi dan impak ke atas kelangsungan PKS dalam sektor ekonomi khususnya pembuatan dan perkhidmatan serta jumlah tenaga kerja yang terlibat juga merupakan pendorong utama untuk membenarkan beberapa industri beroperasi.

Sehubungan itu, tegasnya, pihak syarikat di dalam sektor yang dibenarkan beroperasi itu wajib mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) yang telah diperketatkan bagi mengelakkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut Akta semasa.

Azmin turut menyatakan, sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi boleh membuat permohonan beroperasi kepada MITI bermula 13 April (isnin) ini, dari pukul 9 pagi dan semua permohonan mestilah dibuat secara atas talian di laman sesawang www.miti.gov.my.

Dalam pada itu, mengulas tentang sektor pembinaan, jelasnya, ia melibatkan projek di mana Kontraktor G1–G2 sebagai kontraktor utama, disahkan mencapai kemajuan fizikal 90 peratus ke atas, pembinaan terowong, penyelenggaraan, cerun dan kerja kecemasan yang termaktub dalam perjanjian kontrak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas