Berita

Dron pantau orang ramai patuhi kawalan pergerakan

TANGKAPAN layar dari visual dron DBKL menunjukkan laluan di sekitar Dataran Merdeka kelihatan lengang ekoran Perintah Kawalan Pergerakan semalam.
- Diterbit 23 Mac 2020 9:10 AM MYT
TAN SRI ANNUAR MUSA

PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan teknologi dron bagi membuat pemantauan terhadap kawasan-kawasan tumpuan ramai di ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, teknologi tersebut memudahkan DBKL untuk memantau pasar terbuka yang masih beroperasi.

“Ia merupakan salah satu langkah yang lebih cepat dan mudah kerana dapat dilihat secara visual untuk kita lakukan tindakan yang seterusnya,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang disiar secara live melalui laman Facebooknya hari ini.

Ia juga disiarkan secara langsung melalui Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku.

Pemantauan melalui dron itu dilaksanakan Unit Dron DBKL bermula pukul 4 petang semalam.

Antara kawasan pemantauan adalah di Dataran Merdeka, Lebuh Pasar, Dataran Masjid Negara dan Chow Kit.

Berdasarkan visual yang disiarkan di laman Facebook DBKL, suasana di ibu kota termasuk di kawasan laluan di sekitar Dataran Merdeka kelihatan lengang.

Annuar memberitahu, hasil pemantauan mendapati aktiviti berkumpul dalam kalangan warga kota di lokasi-lokasi berkenaan telah berkurangan.

Bagaimanapun, kata beliau, masih banyak peniaga di kawasan pasar yang masih tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

“Contohnya kita menjalankan pemeriksaan di pasar semalam dan terpaksa menyita 36 gerai di Pasar Borong Selayang kerana ketidakpatuhan peniaga,” ujarnya.

Antara pasar yang tidak mematuhi arahan adalah Pasar Moden Cheras, Pasar Desa Rejang, Pusat Penjaja Taman Seri Sentosa dan banyak lagi, katanya.

“Kita juga turut memberi keizinan kepada pihak polis dan tentera jika perlu untuk membantu operator pasar dan pasar raya mengekalkan jarak sosial (sosial distancing) setiap masa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar menasihatkan agar orang ramai tidak panik jika terlihat dron  berlegar-legar di ruang udara ibu kota.

Mengenai penahanan dua orang jemaah tabligh di Jetalek dan Putrajaya semalam, beliau menjelaskan, tindakan itu terpaksa dilakukan pihak polis untuk memastikan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Kita bukan hendak menyusahkan tetapi bagi yang telah ada kontak dengan ijtimak tabligh, tampillah ke hadapan untuk menjalani pemeriksaan,” rayu beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas