Berita

Covid-19: Semua negeri terima peruntukan RM130 juta

Semua pihak tanpa mengira fahaman politik mestilah bersama-sama berganding bahu dan bersatu-padu menangani krisis yang dihadapi
WILAYAH Persekutuan turut mendapat manfaat dalam inisiatif ini.
- Diterbit 23 Mac 2020 6:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada negeri-negeri bagi membantu menangani krisis Covid-19, tanpa mengira parti politik yang membentuk kerajaan negeri.

Tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, krisis yang sedang dihadapi ini memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik.

“Peruntukan tersebut boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis ini, pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka di samping menyediakan keperluan kepada petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis.

“Sebab itulah saya berpandangan semua pihak tanpa mengira fahaman politik mestilah bersama-sama berganding bahu dan bersatu-padu untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini.

“Menjaga keselamatan, kesihatan dan nyawa rakyat adalah tanggungjawab kita bersama tanpa melangkaui batas politik,” ujar beliau dalam sidang akhbar khas hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas