Berita

80 penduduk Flat Taman Rajawali bakal terima rumah baharu

SHAHIDAN diberi penerangan berkenaan projek perumahan baharu yang akan dibangunkan Desa Aman Hill Residence Sdn Bhd oleh Pengarah Urusannya, Tony Chin Hon Fah di Taman Connought, Cheras.
- Diterbit 26 Januari 2022 8:53 AM MYT

SERAMAI 80 keluarga yang mendiami Flat Taman Rajawali, Cheras, di sini, bakal memiliki kediaman baharu selepas premis mereka terbabit dengan program pembangunan semula di bawah program Urban Renewal yang merupakan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) berdasarkan Panduan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur yang telah dilancarkan pada 29 Januari 2021 yang lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pembinaan projek tersebut tidak akan menjejaskan penghuni sedia ada kerana projek terbabit akan membangunkan terlebih dahulu rumah gantian.

“Kita akan bangunkan dahulu rumah gantian di dalam tapak pembangunan Flat Rajawali sedia ada, kemudian penduduknya akan diberi milikan rumah baharu berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui di dalam bentuk key to key.

“Ini bermakna semua penduduk asal tidak perlu berpindah keluar atau menyewa di kawasan lain,” katanya selepas sesi turun padang di Flat Taman Rajawali pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Ismadi Sakirin dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Cheras, Datuk Mahadi Abd. Shukor.

Menurut Shahidan, pihak pemaju juga akan turut menaik taraf suatu kawasan lapang bersebelahan tapak Flat Rajawali ini seluas 1.3 ekar milik DBKL yang berpotensi untuk dijadikan tempat rekreasi penduduk setempat.

Katanya, ia akan turut memberi manfaat kepada penduduk sekitar selaras dengan salah satu dari objektif pembangunan semula iaitu memberikan tumpuan kepada peningkatan kualiti fizikal serta persekitaran seperti kemudahan infrastruktur dan utiliti untuk meningkatkan kesejahteraan sosial serta manfaat kepada warga Kuala Lumpur.

“Bila pembangunan berlaku, keselesaan rakyat tidak boleh terjejas, kita akan berikan perhatian terhadap perkara itu dan kerja-kerja menaik taraf kawasan lapang juga akan turut dimula,” katanya.

“Projek pembangunan semula rumah flat ini akan memberikan imej baharu kepada kawasan sekitar sekali gus memberi peluang kepada penduduk untuk menikmati kediaman yang lebih selesa dan terancang lengkap dengan pelbagai kemudahan infrastruktur,” katanya.

Shahidan turut memberi jaminan untuk campur tangan sekiranya perjanjian itu hanya akan beri keuntungan kepada pemaju dan mengabaikan keselesaan penduduk terlibat dalam projek itu.

Flat empat tingkat sedia ada itu berkeluasan 550 kaki persegi dengan dua bilik tidur akan terbabit dibangunkan oleh Desa Aman Hill Residences Sdn Bhd dijadual mulai Mac ini dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM256 juta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas