Berita

Kerajaan akan baik pulih, ganti bumbung di rumah pangsa Taman Melati

SHAHIDAN menyerahkan sumbangan duit raya kepada 200 golongan asnaf dan miskin yang terdiri dari OKU, warga emas, ibu tunggal dan golongan miskin bandar yang menetap di PPR dan PA sebagai persiapan menyambut Tahun Baharu Cina.
- Diterbit 25 Januari 2022 6:34 AM MYT

KERAJAAN akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penggantian bumbung baharu di empat buah blok rumah pangsa di Taman Melati yang rosak dipukul ribut petang Isnin.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, kejadian tersebut dikelaskan sebagai bencana dan kerajaan akan melaksanakan kerja pembaikan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri sewaktu banjir yang berlaku pada Disemberi tahun lalu.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah sebut ia sebagai bencana dan kita di Kuala Lumpur ini bencana yang terlibat adalah tanah runtuh, banjir. Jadi yang terbaharu ini adalah ribut yang turut dikelaskan sebagai bencana dan insya-Allah kita akan menjalankan baik pulih di semua kawasan yang terlibat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Tahun Baharu Cina di Sentul di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengerusi Yayasan Batu, Datuk Yahaya@Abbas Mat Ghani.

Menjelas lanjut, Shahidan berkata, untuk beberapa tempoh tertentu, penduduk yang terjejas akan ditempatkan di rumah transit milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sementara kerosakan tersebut dibaiki.

“Pihak Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah memberikan bantuan makan malam, sarapan dan tengah hari untuk 200 orang yang terlibat dan sebarang keperluan akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, empat blok rumah pangsa di Taman Melati yang melibatkan 40 unit rumah dari Blok A13, A14, A15 dan A16 mengalami kerosakan akibat angin kencang dan hujan lebat.

Terdahulu, Shahidan menyerahkan bantuan kepada 200 golongan asnaf dan miskin yang terdiri dari orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan golongan miskin bandar yang menetap di PPR dan Perumahan Awam (PA) sebagai persiapan menyambut Tahun Baharu Cina. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas