Berita

PPTP berjaya tingkatkan keyakinan 175 calon SPM SMK Pantai IBWS

YUSUP (tengah) bersama calon-calon SPM 2021 SMK Pantai IBWS.
- Diterbit 26 Januari 2022 10:04 AM MYT

PROGRAM Pengarah Turun Padang yang diadakan di dewan sekolah SMK Pantai IB World School berjaya meningkatkan keyakinan dan semangat kepada 175 pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 sekolah itu.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohamad, SMK Pantai IBWS merupakan sekolah yang ke-9 telah beliau kunjungi.

“Program ini bertujuan untuk menyuntik semangat kepada semua calon SPM agar memperoleh kejayaan yang cemerlang dan sekali gus dapat membanggakan ibu bapa serta sekolah dengan pencapaian masing-masing,” katanya dalam ucapannya pada Program Pengarah Turun Padang dan Perjumpaan Bersama Calon SPM 2021, SMK Pantai IBWS, semalam.

Hadir sama, Pengetua SMK Pantai IB World School, Norazita Md Nor, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Labuan Kamariah Salim serta Penolong-penolong Pengarah dari Sektor Pengurusan Pembelajaran.

Yusup berkata, objektif utama program itu adalah salah satu strategi untuk menyampaikan amanat kepada calon SPM 2021 sebelum mereka menduduki SPM pada 2 Mac depan.

Kedua-dua sesi tersebut telah dimulakan dengan ucapan aluan daripada pengacara majlis serta bacaan doa yang dipimpin oleh wakil murid.

Dalam program itu juga, untuk kali pertama Muzik Video Rasmi Lagu Sekolah SMK Pantai IBWS hasil ciptaan alumni sekolah itu saudara Mohd Hazim Mohd Noor telah ditayangkan secara bersemuka dan disaksikan oleh pengarah JPWPL dan pengetua SMK Pantai IBWS yang mana sebelum ini hanya ditayangkan secara maya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi penerangan mengenai kepentingan SPM yang merupakan cabaran pertama untuk meneruskan kehidupan selepas sekolah serta kunci untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam pembelajaran dan kehidupan.

“Kepada semua calon SPM 2021, saya berharap agar anda semua terus belajar dan juga menjaga kesihatan menjelang SPM pada Mac depan,” katanya.

Dalam majlis itu juga, Yusup turut menyampaikan banner ‘Selamat Menduduki Peperiksaan SPM 2021’ daripada JPN serta Modul YaPEIM kepada pengetua SMK Pantai IBWS. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas