Berita

75 kontena e-sisa dikesan masuk ke Malaysia sejak 2018 – JAS

- Diterbit 10 Februari 2021 6:58 AM MYT

KEGIATAN haram pengimportan sisa barangan elektrik dan elektronik atau e-sisa, susulan permintaan tinggi oleh industri tempatan bagi mendapatkan pelbagai logam berharga dalam barangan itu dikhuatiri menjadikan Malaysia negara lambakan e-sisa dunia.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar berkata sejak 2018 hingga November tahun lepas, sebanyak 75 kontena berisi e-sisa dikesan memasuki negara untuk diproses secara haram dan tidak mesra alam serta telah dipulangkan ke negara asal.

“Ini menyalahi polisi JAS kerana e-sisa tidak dibenarkan diimport ke dalam negara terutamanya untuk tujuan pemprosesan semula atau pelupusan, yang mana bahan buangan terjadual tidak boleh dieksport atau diimport ke mana-mana negara,” katanya kepada Bernama.

Enggan mendedahkan nama negara yang terlibat dengan kegiatan itu, Norlin berkata kemasukan e-sisa akan membawa kepada kegiatan pelupusan oleh premis haram yang tidak mempunyai kelengkapan sistem kawalan pencemaran khususnya pencemaran udara selain mengurangkan tempoh hayat tapak pelupusan sisa pepejal.

“Biasanya pihak terlibat akan melupuskan barangan elektrik dan elektronik ini dengan kaedah membakar untuk mendapatkan logam berat berharga yang terkandung dalam barangan itu.

“Namun proses pembakaran berpotensi untuk mengeluarkan gas berbahaya seperti dioksin dan furan yang sekiranya terhidu boleh menjejaskan sistem imunisasi badan dan menimbulkan permasalahan kepada organ dalaman selain mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Norlin berkata bagi menangani situasi itu, kerajaan masih dalam proses penggubalan undang-undang baharu bagi mengawal selia pelupusan bahan buangan berkenaan di negara ini, sekali gus menghalang kegiatan pelupusan e-sisa secara haram.

JAS juga katanya dalam usaha memberi kesedaran dengan mengadakan kempen Hari Pengumpulan E-Waste yang akan dilaksanakan pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan untuk membolehkan e-sisa dilupuskan dengan kaedah mesra alam atau environmentally sound management (ESM).

Orang ramai boleh menghantar barangan elektrik dan elektronik yang tidak boleh digunakan lagi termasuk telefon bimbit, penyaman udara, mesin basuh dan peti ais, ke 123 pusat pengumpulan dan 21 kemudahan pemerolehan kembali yang berdaftar dengan jabatan itu di seluruh negara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas