Berita

Yayasan Bena Nusa bantu 7,000 penduduk terjejas COVID-19

PENGERUSI Yayasan Bena Nusa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan sumbangan Bantuan COVID-19, 2.0 kepada 520 warga penduduk sekitar Kampung Bharu, Kuala Lumpur, hari ini.
- Diterbit 22 November 2020 12:01 PM MYT

MEMAHAMI kesukaran sebahagian besar rakyat dalam kalangan B40, terkesan akibat penularan pandemik COVID-19, mendorong inisiatif prihatin Yayasan Bena Nusa membantu golongan sasar memerlukan.

Sejak bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, pelbagai usaha telah digerakkan yayasan itu dengan matlamatnya bagi meringankan beban penduduk khususnya sekitar Parlimen Titiwangsa.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, seramai 7,000 penduduk disantuni melalui Program Bantuan COVID-19, 1.0 yang lalu, dengan menyalurkan barangan basah seperti ikan, udang dan ayam untuk menampung keperluan mereka.

Beliau berkata, sumbangan diagih itu walau tidak sepenuhnya menyelesaikan kesukaran dihadapi penduduk, namun ia sedikit sebanyak membantu kurangkan beban kewangan mereka yang ketika ini mungkin hilang pekerjaan atau pendapatan dari perniagaan.

“Simbolik program bantuan kali pertama sebagai penghargaan terhadap sumbangan para nelayan yang mendapatkan hasil tangkapan laut, lalu kita beli daripada mereka untuk disalur kepada rakyat yang memerlukan.

“Untuk sumbangan kali kedua pula, kita teruskan dengan makanan kering antaranya beras, tepung, gula, minyak masak, maggie dan lain-lain barang keperluan untuk diagihkan di semua 17 kawasan penempatan sekitar Parlimen Titiwangsa ini yang majoritinya adalah kelompok rakyat B40,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bantuan COVID-19, 2.0 di Kampung Bharu, hari ini.

Seramai 520 penduduk setempat telah menerima sumbangan di sini yang merupakan lokasi ke-11 pelaksanaan program bantuan edisi kedua turut mensasarkan 7,000 orang penerima keseluruhan.

 

Ketika ditanya mengenai jumlah yang diperuntuk bagi pelaksanaan kedua-dua program bantuan itu Johari enggan mengulas sebaliknya, menyifatkan usaha tersebut sebahagian tanda prihatin beliau selaku pemimpin setempat terhadap kebajikan warga penduduk di sekitar Titiwangsa.

“Ini adalah tanda kita sentiasa prihatin berkenaan keperluan rakyat setempat terutama sejak PKP yang secara tidak langsung menyebabkan ramai warga yang hilang pekerjaan, gaji dipotong malah ada yang tiada pendapatan daripada berniaga.

“Sepertimana kita semua maklum, Kuala Lumpur adalah pusat aktiviti perniagaan mahupun sektor pekhidmatan telahpun terjejas akibat penularan COVID-19 ini, jadi melalui sumbangan ini dapatlah membantu warga yang memerlukan meneruskan kehidupan mereka sekeluarga,” ujarnya. -OLEH SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas