Berita

70 lokasi Bazar Ramadan Wilayah Persekutuan dibatal tahun ini

Tiga kaedah baru untuk menjual makanan dan minuman disediakan Kementerian Wilayah Persekutuan
ANNUAR menunjukkan tiga konsep yang akan dilaksanakan bagi menggantikan Bazar Ramadan yang ditutup pada tahun ini.
- Diterbit 8 April 2020 8:17 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan memutuskan untuk tidak menganjurkan Bazar Ramadan di keseluruhan 70 lokasi sekitarnya pada tahun ini sebagai usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19 yang kebelakangan ini merekodkan peningkatan kes secara mendadak.

Menterinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, susulan keputusan yang dibuat itu, kementerian memperkenalkan tiga kaedah baru untuk menjual makanan dan minuman iaitu pandu laju (drive thru) bagi tapak yang sesuai dan tertentu yang mana penjaja akan disusun mengikut segmen dan susun atur tersebut sesuai dengan konsep pelaksanaan.

“Semua makanan dijual secara siap bungkus (pre-packed). Kedudukan kanopi adalah dalam satu barisan di tengah jalan empat lorong dengan jarak 20 meter antara satu kanopi dengan kanopi yang lain.

“Kenderaan boleh bergerak secara perlahan di atas jalan untuk membeli juadah. Anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL) dan Angkatan Sukarelawan (Rela) akan bertugas bagi melancarkan pergerakan trafik dengan memastikan hanya satu kenderaan di setiap gerai bagi satu masa.

“Antara cadangan lokasi yang sesuai dilaksanakan setakat ini adalah di sepanjang Boulevard Presint 2, Putrajaya dan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Perincian pelaksanaan konsep Pandu Lalu ini sedang diperincikan dan jumlah peniaga yang boleh menyertai konsep ini akan ditentukan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Bagi kaedah kedua iaitu tempahan awal, bungkus dan ambil (`Pack & Pick’) pula, kata Annuar,orang awam boleh membuat tempahan awal menu makanan yang dipilih secara dalam talian (online) terus kepada peniaga.

Jelas beliau, bagi kaedah tersebut, DBKL, PPj dan PL akan menyediakan platform bagi peniaga mendaftar perniagaan dan orang awam hanya perlu membuat tempahan serta pembayaran secara online atau e-dompet manakala makanan yang ditempah boleh diambil di lokasi yang ditetapkan.

“Konsep ini sedang diteliti bagi memastikan kepatuhan 100 peratus garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM). Bagi kaedah ketiga, DBKL, PPj dan PL akan mendaftarkan para peniaga dengan syarikat penyediaan platform e-Panggilan (e-Hailing) contohnya Food Panda, Grab Food dan sebagainya.

“Pembeli hanya perlu membuat tempahan makanan melalui aplikasi tersebut dan makanan akan dihantar. DBKL, PPj dan PL akan membuat penyelarasan secara bersama dengan syarikat yang menawarkan khidmat e-hailing dan dijangkakan lebih 20,000 petugas e-hailing akan terlibat,” katanya.

Mengulas lanjut, Annuar memaklumkan, pendaftaran untuk menyertai ketiga-tiga konsep tersebut di lokasi-lokasi yang diluluskan akan mula dibuka bermula 13 sehingga 19 April ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan beberapa bayaran yang dikenakan kepada peniaga untuk mendapatkan tapak perniagaan bazar Ramadan akan dipulangkan semula, ia melibatkan bayaran fi lesen, cagaran dan caj perkhidmatan kepada penjaja dan penganjur yang telah diluluskan sebelum ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas