Berita

Bersyukurlah… kuarantin di Malaysia tidur hotel, tempat lain baring atas lantai

INDIVIDU yang dikuarantin boleh berada di hotel.
- Diterbit 8 April 2020 8:40 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan sentiasa memberikan keselesaan dan kemudahan terbaik kepada kumpulan individu yang ditempatkan di pusat kuarantin.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat boleh membezakan antara pusat kuarantin antara Malaysia dan negara luar.

“Tengok di media sosial, ada tempat terpaksa tidur di lantai, berkumpul atau berhimpit di tempat ramai, sukar mendapatkan makanan.

“Negara kita (Malaysia)… hotel tempat terbaik, makanan disediakan dan tidak timbul tidak dapat makanan.

“Kalau kita ingin bersyukur boleh bandingkan dengan tempat negara lain yang jauh lebih teruk tempat kuarantin bagi rakyat mereka sendiri. Percayalah, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat susah sebaliknya keselesaan dan layanan terbaik,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari.

Beliau memberitahu, terdapat 112 buah hotel yang tersenarai dengan 67 daripadanya telah diwartakan sebagai pusat kuarantin.

Ismail Sabri turut menafikan khabar angin bahawa tiada kesepakatan pengusaha hotel, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia mengenai kadar bayaran RM150 sehari bagi kos bilik dan makanan.

“Kerajaan telah mencapai persetujuan dengan hotel yang berdaftar sebagai pusat kuarantin. Jadi, tidak timbul akan dikenakan caj lebihan atau sebagainya.

“Hotel-hotel yang berdaftar telah mengetahui mengenai hal ini (kadar RM150 sehari),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan penempatan individu untuk saringan adalah berdasarkan ‘first come, first serve’ dengan jumlah bilik telah diperuntukkan bagi menjalani kuarantin.

“Kalau hotel A, maksimum 500 dan kita ada 1,000 jadi selebihnya akan dimasukkan ke hotel B. Kita tidak pilih dari segi bilik dan sebagainya.

“Begitu juga dengan hotel lima bintang yang dibayar sendiri oleh sekumpulan individu. Kalau ada isu contohnya makanan itu boleh mengadu terus kepada pengurusan hotel berkaitan dan bukan mengadu di dalam media sosial,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas