Berita

97 peratus penghuni Selangor, Malayan Mansion warga asing

Selangor Mansion diletakkan di bawah PKPD bagi menyekat penularan wabak Covid-19.
- Diterbit 8 April 2020 7:50 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 97 peratus penghuni di Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) adalah warga asing.

Sehubungan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, warga asing yang berada di kawasan tersebut adalah di bawah tanggungjawab kedutaan mereka masing-masing.

“Kementerian Luar telah memaklumkan kepada pejabat kedutaan asing mengambil tanggungjawab dalam menjaga kebajikan warga mereka.

“Bagaimanapun, kita memberikan alternatif kepada penghuni di dua bangunan tersebut untuk pembelian barangan dengan memesan kepada petugas pusat operasi di situ dengan kos ditanggung mereka sendiri,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persoalan berhubung pemberian bantuan atau sumbangan makanan kepada penghuni dua bangunan yang dikenakan PKPD itu.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri menjelaskan Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memantau kawasan-kawasan lain didiami warga asing terutama di zon merah.

“Ini bagi mengesan sama ada terdapat pesakit atau kumpulan dijangkiti Covid-19,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas