Berita

Berbuka puasa sambil bersantai di Padang Dataran Putrajaya

ORANG ramai bersantai di Padang Dataran Putrajaya sambil menanti waktu berbuka puasa.
- Diterbit 7 April 2023 4:50 AM MYT

SELAIN menikmati bufet di hotelhotel mewah, kawasan padang atau sekitar dataran turut menjadi lokasi popular serta ‘wajib’ buat orang ramai untuk berbuka puasa bersama keluarga dan juga sahabat handai terutama pada hujung minggu.

Salah satu lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung untuk berbuka puasa ialah Padang Dataran Putrajaya, Presint 3 yang terletak berhadapan dengan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj).

Padang Dataran Putrajaya yang terletak berhadapan dengan Istana Kehakiman dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin ini menjadi tumpuan warga Putrajaya untuk berbuka puasa kerana terdapat pelbagai pilihan tempat untuk membeli makanan baik di restoran mahupun di bazar Ramadan.

Selain dapat berbuka beramai-ramai, pengunjung juga dapat menikmati keindahan pemandangan sekitar Putrajaya pada waktu malam yang sungguh menarik.

Orang ramai juga boleh berkunjung ke Anjung Syawal yang diadakan bersebelahan lokasi tersebut bagi mendapatkan keperluan serta kelengkapan bagi sambutan Aidilfitri kelak.

Lebih menarik, pelbagai aktiviti kerohanian turut diadakan bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan pada kali ini antaranya adalah Program Minggu Infaq Putrajaya 2023 dengan berkonsepkan Tazkirah Muzikal yang menampilkan beberapa selebriti hijrah dan pendakwah untuk menghiburkan para pengunjung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas