Berita

500,000 pengunjung dijangka meriahkan RFP 2022

DATUK Fadlun (tengah) ketika sesi walkabout di sekitar Royal Floria Putrajaya 2022 bersama media pada hari ini.
- Diterbit 28 Ogos 2022 5:08 AM MYT

SERAMAI 500,000 pengunjung dijangka memeriahkan acara tahunan Floria Diraja Putrajaya atau Royal Floria Putrajaya (RFP) 2022 bermula esok hingga 4 September 2022  ini.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, jangkaan tersebut berdasarkan situasi semasa setelah dua tahun tidak dapat dianjurkan ekoran pandemik COVID-19.

“Berdasarkan sambutan tahun-tahun sebelumya yang hebat, saya yakin kita mampu mencapai jangkaan jumlah pengunjung tersebut.

“Tambahan pula penganjuran kali ini hanya selama tujuh hari jadi sasaran tersebut masih sama dan tiada perubahan,” ujar beliau kepada pemberita pada Majlis Media Preview Pelancaran RFP 2022.

RFP 2022 diserikan dengan limpahan pelbagai spesis tanaman dalam anggaran 200,000 hingga 300,000 kuantiti pokok bunga.

Ia bakal dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Isnin ini.

Selain itu, pada malam Ambang Merdeka, majlis disempurnakan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Festival yang berlangsung selama tujuh hari itu juga dijangka akan menjadi tumpuan kaum keluarga kerana terdapat lokasi santai bersama anak-anak berdekatan kawasan Pantai Floria yang turut disediakan taman permainan, petting zoo dan sebagainya.

Bertemakan Floria Hebat, pelbagai ini pertandingan turut diadakan antaranya Pertandingan Orkid, Pertandingan Bonsai, Pertandingan antara Taman-Taman Pameran dalam kalangan peserta dari agensi kerajaan dan swasta, Pertandingan Sekolah, Universiti dan Taman-Taman Khas seperti Taman PPj dan sebagainya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas