Berita

500 peserta sertai aktiviti Berjalan Teguh Bersama

SHAHIDAN (depan, tengah) merakamkan gambar bersama para peserta Karnival Semarak Uniti Keluarga Malaysia.
- Diterbit 26 Ogos 2022 5:00 AM MYT

SERAMAI 500 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai aktiviti Berjalan Teguh Bersama sempena Karnival Semarak Uniti Keluarga Malaysia yang diadakan di Dewan Arena Bukit Kuda, di sini, baru-baru ini.

Program tersebut merupakan anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Labuan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Tabika Perpaduan JPNIN.

Pengarah JPNIN Labuan, Esther Dingkawan berkata program yang berlangsung serentak di seluruh negara itu dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia ada terjalin di seluruh negara, termasuk di Labuan.

“Selain itu program ini juga bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan hati rakyat sempena kita menyambut Bulan Kemerdekaan” katanya ketika berucap pada program itu Sabtu lalu.

Sesi perasmian program itu telah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan turut ditemani isterinya Datin Seri Samsiah M Yassin.

Terdahulu, sesi gimik pelancaran aktiviti Berjalan Teguh Bersama telah disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas