Artikel

50 tahun bandar raya KL gilap nama

BANGUNAN Sultan Abdul Samad yang terletak di hadapan Dataran Merdeka adalah mercu tanda bagi bandar raya Kuala Lumpur.
- Diterbit 28 Januari 2022 3:22 AM MYT

EMPAT hari lagi, pada 1 Februari 2022, Kuala Lumpur akan menyambut ulang tahun Jubli Emas sempena 50 tahun diisytihar bandar raya pada 1 Februari 1972. Pada 1 Februari 1974 pula ia diisytihar Wilayah Persekutuan.

Dengan perisytiharan itu, Kuala Lumpur yang berkongsi peranan sebagai ibu negara Malaysia dan ibu negeri Selangor, diserahkan oleh kerajaan Selangor kepada Kerajaan Persekutuan untuk menjadi wilayah di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Ibu negeri Selangor berpindah ke Shah Alam.

Kewujudan Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan diikuti oleh Labuan pada 16 April 1984 dan Putrajaya pada 1 Februari 2001.

Adi teringat pada awal tahun 1972 apabila datang dari kampung di Bagan Datuk, Perak untuk sambung belajar di High School, Setapak, Kuala Lumpur.

Lagu negeri Selangor, Duli Yang Maha Mulia, dinyanyikan pada perhimpunan sekolah setiap pagi Isnin sehinggalah Kuala Lumpur diisytihar Wilayah Persekutuan.

Belajar dan kemudian mencari rezeki di ibu kota, Adi menyaksikan perkembangan pesat bekas lombong bijih itu menggilap nama menjadi sebuah pusat pentadbiran dan ekonomi terkenal di seluruh dunia.

Kuala Lumpur, bandar raya terbesar di Malaysia, meliputi kawasan 244 kilometer persegi. Berdasarkan bancian tahun 2018, jumlah penduduknya ialah 1.8 juta. Jumlah ini tentunya telah bertambah kini.

Kepesatan dan kepadatan Kuala Lumpur mendorong kerajaan mencari pusat pentadbiran baharu. Kawasan Perang Besar dalam negeri Selangor dipilih untuk dibangunkan.

Sekali lagi inilah pengorbanan besar kerajaan Selangor menyerahkan wilayahnya untuk dijadikan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Putrajaya dibina sebagai sebuah bandar terancang yang cantik dan hebat. Pelbagai kemudahan disediakan. Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia berpindah ke sini pada 1999. Kuala Lumpur terus menjadi pusat kebudayaan, kewangan dan ekonomi negara.

Sejarah Kuala Lumpur bermula seawal tahun 1840- an. Ketika itu sudah terdapat aktiviti melombong oleh pelombong Cina di Sungai Selangor, kira-kira 16 kilometer dari kedudukan Kuala Lumpur sekarang.

Pada masa itu, kaum Mandailing dari Sumatera yang diketuai oleh Raja Asal dan Sutan Puasa juga terlibat dalam perlombongan bijih dan perdagangan di kawasan Ulu Kelang. Mereka dikatakan menduduki kawasan hulu Sungai Kelang.

Sutan Puasa bertanggungjawab membuka Kuala Lumpur. Fakta ini disahkan oleh pakar sejarah, mendiang Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim.

Namun sumbangan pihak lain seperti Kapitan Cina, Yap Ah Loy, serta beberapa tokoh Melayu dan Cina yang lain dalam memaju dan memodenkan Kuala Lumpur tidak dinafikan. Sumbangan kesemua mereka memastikan Kuala Lumpur maju dan pesat membangun. Bermula daripada sebuah penempatan kecil yang hanya mengandungi beberapa buah rumah dan kedai, Kuala Lumpur yang terletak di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Kelang muncul menjadi bandar pada 1875 dan berkembang menjadi pusat perniagaan dan eksport bijih timah.

Jelas, Kuala Lumpur wujud kerana bijih timah. Hari ini bijih timah sudah tiada. Tetapi Kuala Lumpur terus maju menjadi perhatian dunia. Bijih timah digantikan dengan industri dan pelbagai sektor ekonomi lain yang memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Pelbagai peristiwa bersejarah dicatatkan di ibu negara, seperti Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada Oktober 1989, Sukan Komanwel pada September 1998, Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November 1998 dan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada Disember 2019.

Daripada segi tarikan pelancong, perlumbaan Formula One yang diadakan di Sepang untuk beberapa tahun sebelum dimansuhkan, menjadi tarikan peminat sukan seluruh dunia.

Menara Berkembar Petronas berdiri megah menjadi tumpuan pelancong. Walaupun kini ia bukan lagi menara tertinggi di dunia, ia tetap menara berkembar tertinggi di dunia.

Selain itu ibu negara juga memiliki Menara Kuala Lumpur yang sentiasa menggamit pelancong.

Lima dekad bergelar bandar raya dan 48 tahun Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur melalui transformasi hebat. Daripada penempatan sunyi kepada sebuah kosmopolitan terkenal.

Segala kemudahan disediakan bagi memenuhi keperluan warganya, merangkumi kemudahan asas, kemudahan infrastruktur, pengangkutan awam, perumahan, rekreasi dan sebagainya.

Kerana itu sejajar dengan ulang tahun ke-50 bandar raya Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyusun beberapa program sambutan sebagai luahan kesyukuran di atas kemajuan yang dicapai oleh ibu kota.

Sambutan dalam skala sederhana sesuai dengan suasana pandemik Covid-19 yang masih melanda.

50 tahun adalah usia matang. Dengan kematangan itu diharap Kuala Lumpur terus maju dan makmur merentasi cabaran mencapai kemajuan dan kejayaan lebih hebat.

Namun warga kota mestilah sama-sama membantu memaju dan mensejahterakan ibu kota. Usaha kerajaan memajukan bandar raya perlu mendapat kerjasama semua pihak. Hanya dengan kerjasama dapat membuahkan hasil yang diharapkan.

Sesuatu yang istimewa dengan Kuala Lumpur ialah dalam berkembang menjadi bandar raya maju, ia sentiasa prihatin dengan kebajikan warganya. Gelandangan tidak terkecuali.

Mereka tidak dibiar berkeliaran. Nasib mereka dibela dan disediakan tempat berlindung, malah diberi latihan untuk berniaga dan bertani melalui konsep pertanian bandar.

Ini untuk membolehkan mereka berdikari dan tidak terus meminta-minta untuk kelangsungan hidup.

Golongan yang terjejas akibat tempias Covid-19 kerana hilang pekerjaan dan sumber pendapatan pula dibantu berniaga, khususnya melalui Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) dan kios niaga yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Peluang ini turut dibuka kepada siswazah yang masih belum mendapat kerja setelah habis pengajian.

Namun satu perkara yang ingin Adi lihat ialah penyelesaian masalah pembangunan Kampung Baru. Setelah beberapa dekad berlalu, usaha pembangunan masih belum menemui cahaya di hujung terowong. Sentiasa ada sahaja masalah berbangkit.

Isu utama ialah pampasan yang tidak memuaskan hati para pemilik tanah. Pemilik seperti ada formula sendiri berhubung pampasan sementara di pihak kerajaan dan pemaju pampasan adalah berdasarkan penilaian semasa.

Adi berharap sejajar dengan usia Kuala Lumpur menyambut Jubli Emas, isu Kampung Baru akan terlerai juga akhirnya dan projek pembangunan kawasan rizab Melayu itu dapat dilaksanakan segera.

Kampung Baru perlu membangun sejajar dengan kedudukannya sebagai sebuah penempatan dalam bandar yang dikelilingi oleh pembangunan moden dan bangunan pencakar langit di sekelilingnya. Martabat Kampung Baru perlu dipertingkat.

Adi yang menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur pada 1972, tahun ia diisytiharkan bandar raya, bangga dengan kepesatan pembangunan sehingga kini.

Syabas Kuala Lumpur! Adi percaya ia akan terus berkembang menjadi kota metropolitan hebat. Semoga Kuala Lumpur terus maju jaya.

Adi—Sayang Kuala Lumpur – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas