Artikel

Mereka yang titipkan teladan

HOTEL Kuala Lumpur International merupakan sebuah hotel tiga bintang yang popular di pusat bandar Kuala Lumpur.
- Diterbit 28 Januari 2022 4:03 AM MYT

KUALA Lumpur mempertemukan saya dengan pelbagai ragam dan sifat manusia. Walaupun ada yang memberikan pengalaman pahit, tetapi tidak kurang juga yang menemukan saya dengan teladan kehidupan yang lebih bererti. Semua pengalaman begini memberikan kematangan kepada orang yang naif seperti saya.

Walaupun kota raya ini sarat dengan imej dan persepsi tentang manusia kebendaan yang rakus dalam serba-serbi, tetapi tidak kurang juga terselit manusia yang memanusiakan orang lain. Pengalaman mencari hidup yang lebih bererti datang daripada manusia-manusia baik yang kita temui.

Mungkin sudah ditakdirkan saya sentiasa bernasib baik. Saya banyak sekali diketemukan dengan manusia yang bukan sahaja baik, tetapi pengalaman hidupnya yang tidak ternilai harganya. Sebagai anak muda yang baru bertatih waktu itu saya sangat sedikit pengalaman dalam kehidupan.

Kuala Lumpurlah yang banyak membentuk sisi-sisi kemanusian dalam diri saya. Pengalaman ini disampaikan oleh mereka yang sangat luhur dan memberikan teladan yang sangat baik. Sudah tentu ilmu dan pengalaman begini tidak akan ditemui di mana-mana universiti, kecuali universiti kehidupan seperti yang saya lalui.

Misalnya saya dipertemukan dengan Mak Cik Tuminah. Usianya sebaya arwah ibu yang ketika itu lebih kurang 70 tahun. Mak Cik Tuminah sama seperti beberapa individu lain yang diangkat kisah mereka dalam kolum ini ini. Mereka dalam kalangan manusia berjasa yang membuka rasa kemanusiaan dan kesedaran terhadap kehidupan.

Daripada Mak Cik Tuminah saya mulai mengerti kemanusiaan kita sebagai manusia biasa dan kekuasaan Yang Maha Esa. Tidak semua yang terdetik di hati akan berada di depan mata. Nasib dan takdir manusia juga tidak serupa. Tetapi semuanya menyimpul teladan kepada orang yang seperti saya – miskin rasa dan pengalaman.

Peristiwa yang berlaku pada tahun 1989 memberikan kesan yang besar dalam kehidupan. Ketika itu saya selalu singgah di sebuah gerai tidak jauh dengan Hotel Kuala Lumpur International, sebuah hotel tiga bintang yang popular.

Di gerai itulah saya bertemu dengan mak cik lingkungan 70-an dari Perak yang ketika itu sudah hampir sebulan menemani suaminya di Hospital Kuala Lumpur. Pagi itu ketika saya sedang menikmati sarapan dan di depan ada segelas susu lembu segar, dari jauh terlihat perempuan tua berbaju kurung lusuh.

Berada di depan Mak Cik Tuminah segera melayangkan ingatan kepada ibu yang jauhnya lebih 500 kilometer di kampung halaman. Mak Cik Tuminah seperti ibu yang tiba-tiba hadir dalam relung rindu yang panjang. Tetapi lebih menggores tatkala mata menyelinap pada baju kurung lusuh dan tudungnya yang ada kesan kotoran. Tanggapan awal saya Mak Cik Tuminah seorang peminta sedekah.

Kemudian apabila dia membayar nasi bungkus yang diambilnya, saya menjangka dia seorang yang berdepan masalah mental. Malah keberadaan Mak Cik Tuminah di gerai itu dirasakan amat asing. Saya fikir dia juga merasakan dirinya menjadi tontonan dan tanda tanya.

Bagaimanapun pada pertemuan pertama itu kami bersembang hal-hal yang tidak menyentuh diri masing-masing. Mak Cik Tuminah kelihatan amat malu. Sepatah ditanya sepatah juga dijawabnya. Maka agak tersekat untuk bersembang dan berbasa-basi merancakkan suasana.

Waktu itu saya juga tidak bertanyakan namanya dan kenapa berada di Kuala Lumpur. Daripada penampilan saya sangat yakin dia bukan orang yang menetap di Kuala Lumpur. Langkahnya janggal dan asing. Dia pula lebih banyak memerhati di sekeliling seolah-olah suatu tempat baharu.

Beberapa hari selepas itu saya singgah lagi di gerai susu segar itu. Kali ini saya melihat Mak Cik Tuminah berada di gerai itu. Seperti sebelumnya – di depannya hanya nasi bungkus dan air kosong. Saya menuju ke mejanya dan terus duduk selepas memberikan salam. Mak Cik Tuminah berpaling dalam keadaan terkejut, kemudian tersenyum.

Kali ini saya memberanikan diri bertanyakan nama dan kenapa dia berada di Kuala Lumpur. Mak Cik Tuminah agak berhati-hati untuk menjawab. Katanya, dia menjaga suaminya yang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur sudah sebulan lalu. Apabila dia memberitahu datang dari Perak, saya lantas bertanya di mana dia tinggal selama itu.

Mak Cik Tuminah berkampung di tepi kaki lima hospital bersamasama beberapa yang lain. Katanya, dengan beralaskan kotak, di situlah mereka tidur atau berehat. Mandi dan sembahyang di surau. Pada usia sedemikian sepatutnya Mak Cik Tuminah berada di rumah yang lebih selesa bukan di kaki lima.

Suaminya yang lebih tua usianya mengalami pendarahan otak kemudian terus dalam keadaan koma. Selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di Ipoh, pihak hospital memindahkan ke Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Mak Cik Tuminah tidak mempunyai anak selepas anak tunggalnya gugur dalam pertempuran dengan pangganas komunis di Sungai Manik, Perak.

Katanya, dia belajar menjadi kuat semasa dipapah ke keranda anaknya. Dia bertekad untuk tidak menangis, suaminya menggengam tangannya eraterat. Dia memejamkan mata dan hanya sedu-sedan yang sudah tidak terkawal. Mulai senja itu, tinggallah hanya mereka berdua dan dia belajar menjadi manusia yang mempersoalkan ketentuan Yang Maha Esa.

Dengan beban perasaan yang begitu berat, Mak Cik Tuminah tetap kelihatan tenang. Setiap hari dia berada di sisi suaminya, bercakap-cakap seperti sebelum kejadian pendarahan otak itu berlaku. Dia keluar hanya untuk mencari makanan dan seharian di sisi katil itulah dunianya.

Walaupun begitu suaminya yang koma tidak menyedari kehadiran Mak Cik Tuminah. Suaminya tidak melihat kesetiaan seorang isteri berada di sisinya dan menjungkir balik masa-masa indah yang pernah dilalui. Kepada orang lain, barangkali perbuatan yang sia-sia. Tetapi tidak kepada Mak Cik Tuminah.

Kata Mak Cik Tuminah, walaupun suaminya tidak menyedari kehadirannya, tetapi dia sedar ketika berada di sisi suaminya. Dia merasakan keberadaan suami walaupun keadaannya yang kaku dan sepi. Beberapa kali doktor seperti tidak memberikan harapan, tetapi dia mengharapkan keajaiban.

Disebabkan sibuk dengan tugas, hampir dua minggu saya tidak ke gerai susu segar itu. Apabila tiga hari berturut-turut saya tidak nampak Mak Cik Tuminah di gerai, saya menjadi tidak keruan. Kata tuan gerai dekat seminggu dia tidak datang.

Saya menyusur Jalan Pahang pergi ke Hospital Kuala Lumpur. Ke mana hendak dicari? Nama suaminya pun tidak ada. Pencarian itu bagai dalam kegelapan. Kemudian menyusur di kaki lima dan bertemu dengan empat atau lima orang wanita dan lelaki di situ. Saya hanya bertanya tentang “Mak cik dari Perak” kalau ada yang kenal.

Daripada gambaran yang diberikan oleh mereka, baju yang selalu dipakai Mak Cik Tuminah, benarlah mereka kenal dengannya. Mereka memberitahu sudah lebih seminggu suaminya kembali ke pangkuan Ilahi dan Mak Cik Tuminah telah balik ke Perak.

Saya terduduk di atas simen di kaki lima. Tangan tegap memegang nasi bungkus untuk Mak Cik Tuminah. Wajah dan kekuatannya berdepan ujian silih berganti di ruang khayal. Walaupun hanya seketika bertemu dengannya tetapi manusia seperti Mak Cik Tuminah telah meninggalkan telaan yang besar kepada diri saya.

Dengan menghayati pengalaman hidup Mak Cik Tuminah, saya mulai memetik perca-perca kehidupan dan menyusunnya menjadi indah. Kuala Lumpur dan manusia yang baik telah memberikan teladan yang memimpin saya di kota yang ganas dan liar ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas