Artikel

Mengilap bakat ‘ubi muda’

IBU Pejabat baharu FAM setinggi lima tingkat dijangka siap pada tahun 2025.
- Diterbit 21 Januari 2022 5:09 AM MYT

PEMBANGUNAN sistematik bermula daripada peringkat akar umbi antara ‘kunci’ kejayaan dalam usaha memastikan bola sepak negara berada pada membanggakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan bola sepak bukan hanya merangkumi infrastruktur canggih dan moden semata-mata namun perlu menitik berat usaha menggilap bakat ‘ubi muda’ sehingga menjadi aset terbaik negara.

MAJLIS pecah tanah bagi pembinaan ibu pejabat baharu FAM di Presint 5, Putrajaya telah disempurnakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan semangat profesionalisme tinggi terutama membabitkan organisasi dan individu untuk membuat perancangan rapi.

“Pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan semangat profesionalisme yang tinggi.

“Sikap profesional menuntut sesebuah organisasi dan juga individu untuk membuat perancangan yang rapi. Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal,” katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Presint 5 Putrajaya pada Isnin.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, seorang pemain bola sepak yang berbakat perlu dibimbing oleh jurulatih terbaik dari usia muda, manakala jurulatih pula harus mendapat tunjuk ajar daripada instruktur atau jurulatih pakar.

Menurutnya, dengan kemahiran teknikal yang dimiliki hasil daripada bimbingan jurulatih yang hebat, ia sekali gus meningkatkan kebolehpasaran pemain bukan sahaja di liga tempatan malah ke peringkat antarabangsa.

“Contohnya pasukan Chelsea atau The Blues yang berpangkalan di Stamford Bridge, England. Ekosistem pasukan Liga Perdana Inggeris ini cukup lengkap.

“Akademi mereka mengendalikan pasukan yang dianggotai pemain semuda sembilan hingga 23 tahun satu ekosistem yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa,” katanya.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat model ibu pejabat FAM.

Ismail Sabri berkata, kelab-kelab bola sepak tempatan harus mencontohi Chelsea yang pada masa sama turut membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain mereka.

Turut menggunakan Vietnam sebagai contoh, katanya, pada 2006, pasukan itu menduduki ranking 172 dan kini mereka menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.

“Apa yang membezakan Malaysia dan Vietnam? Jawapannya adalah pembangunan bola sepak di peringkat awal.

“Kunci kepada peningkatan prestasi pasukan Vietnam ialah Akademi Hoang Anh Gia Lai yang menjalinkan kerjasama dengan pasukan Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan sokongan konglomerat Vietnam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tapak ibu pejabat ketiga FAM seluas 2.4 hektar itu akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai fasiliti yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut menyumbang RM10 juta tahun ini kepada FAM bagi pembangunan bola sepak negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas